Kenapa sekolah di Melaka ada kantin berbeza?


Raevathi Supramaniam Ravin Palanisamy Yvonne Lim

Kantin Melayu disediakan di sebuah sekolah mubaligh di Melaka. Sekolah itu menyediakan kantin berbeza untuk umat Islam yang dikendalikan oleh Muslim. – Gambar The Malaysian Insight, 25 November, 2018.

DI belakang kantin utama SMK St Francis, Melaka, terdapat satu ruang makan lebih kecil dengan satu papan tanda bertulis “Kantin Melayu”.

Sekolah yang dibina pada 1880 itu sebelum ini dikenali dengan nama St Francis Institute atau SFI.

Ia merupakan salah satu daripada sekurang-kurangnya empat sekolah mubaligh, selain beberapa sekolah vernakular di negeri itu yang menyediakan kantin kedua – untuk pelajar dan kakitangan Islam.

Kantin kedua ini dikendalikan oleh seorang pengusaha Muslim, berbeza dengan pengendali di kantin utama.

Seorang bekas pelajar SFI yang hanya ingin dikenali sebagai Matt Ogus, 18, memberitahu The Malaysian Insight, pelajar Muslim tidak dibenarkan makan di kantin “bukan Islam” itu.

Sekiranya didapati melanggar larangan itu, pelajar akan dimarahi oleh ustaz, katanya.

“Kedua-dua kantin itu menggunakan pinggan dan sudu garpu yang berbeza. Selepas makan, pelajar perlu meletakkannya ke dalam tong berbeza. Ia akan dicuci berasingan,” katanya.

The Malaysian Insight diberitahu mengenai dasar dua kantin ini ketika perdebatan mengenai ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) memuncak.

ICERD merupakan konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mewajibkan anggotanya menghapuskan diskriminasi kaum dan mempromosi persefahaman di antara kaum.

Susulan bantahan dari kumpulan pro-Melayu dan pembangkang, Putrajaya pada Jumaat lalu mengumumkan kerajaan tidak akan meratifikasi konvensyen itu.

Seorang pengendali kantin di salah sebuah sekolah yang dikunjungi The Malaysian Insight berkata, keluarganya mengusahakannya sejak berdekad lamanya tetapi banyak yang berubah sejak itu.

Walaupun kantin itu mendapat sijil halal, guru Melayu dan sebahagian pelajar enggan makan di situ.

“Sebelum ini lebih ramai guru Cina dan India. Tapi sekarang lebih ramai guru Melayu bertugas, dan mereka mahu pengusaha Melayu 100%.

“Walaupun jika diupah kakitangan Melayu untuk membantu, mereka tetap tidak mahu makan di sini. Mereka mahu orang mereka sendiri. Kami tidak ada pilihan. Inilah Malaysia sekarang,” katanya.

Lebih selesa

Beberapa pengetua dari sekolah ini memberitahu The Malaysian Insight, tiada arahan daripada kerajaan negeri mahupun Kementerian Pendidikan untuk membina kantin tambahan.

Jelas mereka, keputusan itu dibuat apabila kakitangan Muslim dan ibu bapa menyatakan mereka lebih selesa makan makanan oleh pengusaha Muslim.

“Makanan dijual di kantin utama tentu sekali halal. Tetapi sesetengah pengusaha bukan Islam. Mereka (kakitangan dan ibu bapa) kata mereka lebih selesa jika orang Islam hidang makanan,” kata pengetua SMK (P) Methodist Tay Kim Chee.

 

Tay menambah beberapa sekolah mula menambah “kantin Melayu” sejak 10 tahun lalu.

Pengetua SMJK Yok Bin Goh Tai Peng pula berkata kantin tambahan di sekolahnya, sebuah sekolah vernakular Cina, dibina untuk kira-kira 50 pelajar Islam di situ.

“Halal bukan saja tiada babi. Ia turut melibatkan penyediaan makanan seperti daging. Jika pengusaha (bukan Islam) tidak mendapatkannya daripada pembekal halal, beliau tidak boleh mendakwa makanan itu halal,” katanya.

Beliau berkata sekolah mubaligh dan sekolah vernakular di Melaka membina kantin tambahan untuk menampung jumlah pelajar dan kakitangan Melayu yang meningkat.

Bagaimanapun, seorang bekas pengetua yang enggan dinamakan berkata terdapat spekulasi bahawa pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini menekan sekolah terbabit untuk membina kantin tambahan.

“Tiada hitam putih, jadi tidak ada bukti. Tapi anda boleh kata itu (tekanan kerajaan terdahulu),” kata bekas pengetua itu.

Bukan soal pemisahan kaum

Pengarah Jabatan Pendidikan Melaka Abu Bakar Saharim bagaimanapun berkata pemisahan kantin itu “tiada kena mengena dengan pemisahan kaum” tetapi untuk memberi pelajar lebih banyak pilihan.

Abu Bakar berkata beliau tidak pasti jika ia satu arahan dari kerajaan terdahulu dan menambah, pengurusan kantin di bawah bidang kuasa sekolah dan kerajaan hanya menyediakan garis panduan.

“Makanan tidak halal tidak dibenarkan sama sekali. Tetapi ada pihak yang lebih memandang berat, mereka yang lebih (utamakan) agama.

“Jadi kenapa tidak wujudkan kantin berbeza? Ia hanya akan memberi lebih pilihan kepada pelajar. Ini tidak ada kena mengena dengan pemisahan kaum.”

Banyak sekolah di Melaka kini menggunakan dasar dua kantin untuk memenuhi permintaan ibu bapa dan guru Islam. – Gambar The Malaysian Insight, 25 November, 2018.

Katanya, perkara itu sudah berlarutan sejak beberapa lama dan mempersoalkan mengapa perkara itu perlu dipertikaikan pada masa ini.

“Ini bukan isu. Tetapi jika perkara ini tular, kami akan dapat arahan dari atas,” kata Abu Bakar kepada The Malaysian Insight.

Seorang pegawai di unit kebajikan pelajar di Kementerian Pendidikan pula berkata, sekolah berkenaan berhak mengambil lebih dari satu pengendali kantin.

“Pengendali utama perlu memohon melalui kementerian, tetapi pengendali seterusnya boleh memohon melalui sekolah. Terpulang kepada mereka untuk mengambil lebih dari satu pengendali, jika dirasakan sesuai.”

Semakan dengan Jabatan Pendidikan Kuala Lumpur mendedahkan, tiada satu pun sekolah mubaligh ataupun sekolah vernakular mempunyai kantin kedua untuk Muslim.

Jabatan Pendidikan Pulau Pinang juga menyatakan, beberapa sekolah besar mempunyai bahagian berasingan untuk Muslim tetapi tiada satu pun sekolah di negeri itu mempunyai kantin berasingan.

Tak logik

Seorang bekas pelajar SFI yang dikenali dengan nama Vin, 18, mendakwa, rakan Melayu sering memesan makanan dari “kantin Cina” melaluinya dan makan secara bersembunyi.

“Mereka tidak boleh beli sebab ustaz akan halang, kemudian sewaktu kelas agama, ustaz akan beritahu mereka kantin Cina tiada makanan halal.

“Saya tidak faham mengapa (perlu ada kantin berasingan) sedangkan sudah ada sijil ditampal (di kantin itu) yang menyebut ‘halal’.

“Apabila saya tanya kawan-kawan Melayu, mereka kata mereka pun tak faham. Saya rasa marah apabila fikir perkara ini. Tidak logik sama sekali,” katanya.

Seorang pegawai Kementerian Pendidikan menyebut, mereka sedang menyiasat perkara itu. – 25 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen