Pelajar perlu dibantu tingkat kemahiran berfikir


Ragananthini Vethasalam

Pelajar kini semakin terdedah dengan soalan kemahiran berfikir aras tinggi untuk menyemai budaya pemikiran.– Gambar fail 9 Disember, 2019.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2019.

WALAUPUN Malaysia mencatatkan peningkatan dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2018, ia masih jauh untuk mencapai sasaran, kata Pengerusi Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Abdul Rahim.

“Hasilnya bertambah baik meskipun sedikit tetapi kita masih jauh dari sasaran 2020 untuk mencapai purata OECD (Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan) dan dengan itu menjadi antara yang teratas pada tahun 2025,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sasaran ini tercatat dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, tambah Noor Azimah.

Pelan tindakan itu membayangkan sistem pendidikan Malaysia berada di kedudukan ketiga teratas dalam penilaian antarabangsa seperti PISA dan Trend dalam Kajian Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dalam tempoh 15 tahun.

“Patuhi pelan itu dan pastikan campur tangan dilakukan pada setiap titik perkara agar sasaran dapat dicapai,” katanya ketika ditanya mengenai apa yang dapat dilakukan untuk memperbaiki kedudukan Malaysia.

Noor Azimah berkata, pelajar semakin terdedah dengan soalan kemahiran berfikir aras tinggi untuk menyemai budaya pemikiran.

Ini bermakna guru perlu bantuan dan latihan untuk menjawab soalan sebegitu dan membiasakan pelajar dengan modul agar mereka mampu menjawab soalan dengan pantas dalam masa yang ditetapkan.

Tambahnya, dasar baharu seperti pemansuhan peperiksaan untuk sekolah rendah mungkin menjadi langkah pertama dalam hala tuju masa depan sektor pendidikan.

Pengerusi Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan, Noor Azimah Abdul Rahim berkata guru memerlukan bantuan dan latihan untuk menjawab soalan aras tinggi dan membiasakan pelajar dengan modul. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2019.

“Dengan memansuhkan peperiksaan, guru tidak akan mengajar untuk peperiksaan, pelajar tidak akan tertekan, lebih banyak masa untuk refleksi, menjadi ingin tahu, berfikir secara kritis, belajar melalui peranan dan merasakan keseronokan mencari ilmu, berbanding mencari fakta dan angka dalam peperiksaan,” katanya.

Malaysia merekodkan peningkatan dalam ranking PISA utuk 2018, dalam tiga subjek utama Sains, Matematik dan kemahiran membaca selepas mencatatkan penurunan bawah skor purata pada 2012 dan 2015.

Ketua Pengarah Pendidikan Dr Amin Senin berkata Malaysia telah melonjak kepada satu pertiga pertengahan berbanding satu pertiga bawah.

Menurut OECD, Malaysia mendapat skor 440 dalam subjek Matematik, 415 dalam membaca dan 438 dalam literasi Saintifik dalam PISA 2018. 

Markah ini menunjukkan peningkatan dari 2015 dan 2012 yang mana pelajar Malaysia mendapat skor 446 dan 421 dalam Matematik, 443 dan 420 dalam Sains dan 398, dan 431 dalam kemahiran membaca.

Sementara itu, Harry Tan dari Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berkata, lebih banyak yang  perlu dilakukan untuk Malaysia berada seiring dengan negara maju.

“Walaupun terdapat peningkatan, lebih banyak yang perlu dilakukan untuk meletakkan Malaysia setanding dengan negara maju. Dalam aspek ini, Kementerian Pendidikan perlu sentiasa memberi maklum balas dan mengubah dasar untuk menjadikan kita lebih relevan,” tambahnya.

OECD PISA mengukur kemampuan pelajar berusia 15 tahun menggunakan pengetahuan dalam Matematik, Sains dan kemahiran membaca untuk menghadapi cabaran kehidupan sebenar. Penilaian itu dikeluarkan tiga tahun sekali. – 8 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen