Ramasamy gesa SPRM berhenti ganggu Pulau Pinang kerana projek terowong


P Ramasamy hari ini mendesak SPRM berhenti menganggu Pulau Pinang kerana projek terowong dasar laut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Julai, 2020.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak perlu membuang masa mencari korupsi dalam projek terowong bawah laut Pulau Pinang, kata P Ramasamy.

Timbalan ketua menteri II Pulau Pinang itu yang pejabatnya dilawati pegawai SPRM semalam berkaitan isu tersebut juga mendesak agensi itu berhenti menganggu kerajaan negeri yang diterajui DAP itu.

“Di mana korupsi dalam projek terowong dasar laut Pulau Pinang?

“Menganggu kerajaan Pulau Pinang, pegawainya dan pihak terlibat tidak membuktikan sebarang salah laku wujud,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Tambahnya, SPRM sepatutnya mengarahkan sumbernya kepada siasatan korupsi dibuat pemimpin Umno dan PAS.

“Mungkin SPRM mahu menyalurkan sumber terhadnya ke dalam siasatan dan mendakwa pemimpin Umno dan PAS, terutama mereka yang terlibat dalam 1MDB dan skandal lain,” katanya.

Semalam, pegawai SPRM melawat pejabat Ramasamy dan Zairil Khir Johari tetapi kedua-dua exco itu menafikan mereka disoal siasat.

Ramasamy memberitahu The Malaysian Insight yang tiga pegawai SPRM datang ke pejabatnya pada jam 10 pagi tetapi tidak mengambil keterangannya.

“Tiada kenyataan direkodkan. Pegawai SPRM tiga orang datang ke pejabat pada jam 10 pagi (hari ini).

“Mereka ambil gambar pejabat, bercakap dengan kakitangan saya, minta jadual dan senarai staf saya, dan temubual dua orang pegawai keselamatan peribadi saya.

“Mereka tidak tanya apa-apa kepada saya,”katanya.

Zairil yang merupakan exco kerja raya, utiliti dan tebatan banjir juga mengesahkan SPRM tidak mengambil keterangannya.

Manakala, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki juga dilaporkan berkata semalam yang kertas siasatan projek itu akan siap dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi dan akan dihantar ke pejabat pendakwa raya untuk tindakan.

Rabu lalu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri sudah menerima surat daripada SPRM untuk menembual beberapa exco dan pemimpin negeri berkaitan isu itu.

Sebelum ini, bekas pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang Jeffrey Chew direman empat hari bermula 1 Julai lalu untuk membantu siasatan kes. – 4 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen