Kertas siasatan projek terowong dasar laut hampir siap, kata SPRM


Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki jangka kertas siasatan projek pembinaan terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion lengkap dalam tempoh dua ke tiga minggu sebelum diserah kepada timbalan pendakwa raya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Julai, 2020.

KERTAS siasatan projek pembinaan terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini dalam fasa akhir, kata Azam Baki.

Ketua pesuruhjaya SPRM itu berkata kertas siasatan itu dijangka lengkap dalam tempoh dua ke tiga minggu sebelum diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

“SPRM kini dalam fasa akhir siapkan siasatan projek itu di mana kertas siasatan akan dilengkapkan secepat mungkin…dalam dua atau tiga minggu lagi (siap),” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sebelum itu, Azam melakukan lawatan kerja pertamanya sebagai ketua pesuruhjaya di pejabat SPRM negeri di George Town.

Terdahulu, beberapa pegawai SPRM telah hadir di bangunan pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) untuk mengambil keterangan beberapa petugas di bangunan itu.

Dua pasukan SPRM tiba di tingkat 52, Komtar pada jam 9.35 pagi, yang menempatkan pejabat Timbalan Ketua Menteri I Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Menteri II Prof Dr P. Ramasamy dan dua exco kerajaan negeri, Zairil Khir Johari serta Yeoh Soon Hin. – Bernama, 3 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen