2 exco Pulau Pinang nafi disoal siasat SPRM


Zaim Ibrahim

SPRM melawat pejabat P Ramasamy dan Zairil Khir Johari hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Julai, 2020.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melawat pejabat P Ramasamy dan Zairil Khir Johari hari ini, tetapi kedua-dua pemimpin kanan Pulau Pinang itu menafikan mereka disoal siasat.

Ramasamy, timbalan ketua menteri II, berkata, tiga pegawai SPRM hanya datang ke pejabat beliau tetapi tidak melakukan soal siasat.

“Tiada kenyataan direkodkan. Pegawai SPRM tiga orang datang ke pejabat pada jam 10 pagi (hari ini).

“Mereka ambil gambar pejabat, bercakap dengan kakitangan saya, minta jadual dan senarai staf saya, dan temubual dua orang pegawai keselamatan peribadi saya.

“Mereka tidak tanya apa-apa kepada saya,” jelasnya kepada The Malaysian Insight.

Sementara itu, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir Zairil Khir Johari turut mengesahkan tiada pegawai SPRM merakam kenyataannya.

“Tidak benar (saya disoal siasat atau rakam kenyataan).

“Mereka (SPRM) hanya datang ke pejabat, bercakap dengan pembantu saya dan telah memberi kerjasama dengan apa yang mereka perlukan. Kenyataan saya juga tidak direkodkan,” katanya.

Dipercayai yang siasatan kini tertumpu kepada hubungan penahanan bekas pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang Jeffrey Chew yang juga bekas pegawai khas kepada bekas ketua menteri Lim Guan Eng.

Chew kini disiasat atas tuduhan terlibat dalam rasuah projek terowong bawah laut Pulau Pinang yang menghubungkan pulau dengan tanah besar. – 3 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen