Kalau tidak kerana Covid-19, Perikatan hanya sibuk tabur jawatan, kata Daim


The Malaysian Insight

Perikatan Nasional sibuk menabur jawatan untuk mengukuhkan kedudukan politik, kata Daim Zainuddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Jun, 2020.

JIKA tidak mengambil kira usaha pencegahan wabak Covid-19, kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak akan berbuat apa-apa selain menghambur jawatan tinggi bagi mengukuhkan kedudukan politiknya, kata bekas penasihat kerajaan Daim Zainuddin.

Pada masa sama, PN yang dianggotai banyak parti era Barisan Nasional (BN) juga sudah kembali kepada cara lama untuk mendiamkan pengkritiknya.

Daim, yang menerajui Majlis Penasihat Kerajaan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH), berkata kedua-dua tindakan ini adalah ciri utama pentadbiran Muhyiddin Yassin setakat ini.

Muhyiddin dan PN junjung kuasa ketika era luar biasa dalam sejarah dan sukar untuk membandingkan prestasi mereka dengan pentadbiran sebelum ini kerana ia perlu menangani wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia, kata Daim.

Tidak seperti BN atau PH, Muhyiddin dan PN menumpukan sepenuh masa dan sumber hanya kepada satu isu sahaja - perang melawan Covid-19 dan kesan sosio-ekonomi dibawanya.

“Ketika bencana, kerajaan semasa tidak boleh berfungsi dengan cara biasa ia bekerja,” kata Daim dalam satu temubual baru-baru ini.

“Krisis kesihatan dan ekonomi semasa memerlukan kerajaan untuk berbuat lebih banyak berbanding masa biasa.

“Kerajaan tidak boleh terus berbulan madu. Ia perlu terus bekerja sebaik sahaja mengambil alih kuasa. Sekarang, mereka perlu menggubal pelan pengurusan krisis untuk sektor ekonomi, sosial, pedalaman dan komunikasi semasa dan selepas Covid-19.

“Tetapi setakat ini, kerajaan tak banyak buat kerja selain secara ekslusif mengukuhkan cengkaman politiknya dengan pemberian jawatan.

“Pada masa sama, rakyat merasakan gaya lama kerajaan menggunakan agensi untuk menghalang rakyat meluahkan pandangan mereka dan menyekat kebebasan bersuara, sudah muncul kembali.”

Kerajaan Perikatan Nasional diketuai Muhyiddin Yassin naik ketika dunia berdepan wabak Covid-19, tetapi sehingga sekarang masih tiada pelan dan dasar menyeluruh untuk Malaysia.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Jun, 2020.

PN berjaya junjung kuasa selepas beberapa wakil rakyat PH berpaling tadah meninggalkannya dalam “Langkah Sheraton” pada 23 Februari lepas.

Hampir 40 ahli Parlimen daripada Bersatu dan PKR, bersatu tenaga dengan Umno, PAS dan sebilangan parti Sabah dan Sarawak untuk membentuk kerajaan PN.

Muhyiddin yang sebelum ini menteri dalam negeri kerajaan PH, berpaling tadah, membawa bersamanya hampir 30 ahli Parlimen Bersatu masuk ke dalam PN, beliau kemudiannya dilantik sebagai perdana menteri.

Sejak menjadi kerajaan, PN dikecam hebat kerana didakwa memberikan jawatan penting berupah lumayan dalam syarikat berkaitan kerajaan dan badan berkanun kepada wakil rakyat daripada Umno, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Pengkritik juga menuduh PN menggunakan jawatan ini untuk mengukuhkan kedudukannya disebabkan majoriti tipis dipegangnya daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.

“Orang baca pelantikan ini sebagai cara raih sokongan dan kemudian buat kesimpulan yang (Muhyiddin) sendiri tidak pasti tentang sokongan diterimanya,” kata Daim.

“Beliau benarkan rakyat untuk tafsir yang beliau tiada sokongan sehingga terpaksa memberi hadiah kepada mereka. Rakaman audio terbaru yang apabila beliau cuba memikat ahli Parlimen Umno dengan (jawatan) pengerusi GLC juga memburukkan keadaan.”

Daim mengakui yang PH juga bersalah dalam amalan itu tetapi ia tidaklah seburuk dan berleluasa berbanding sekarang.

“Dalam banyak aspek dan pujian perlu diberikan, PH menyingkirkan ramai ahli politik daripada pelbagai entiti dan berjaya meletakkan profesional yang layak dalam GLC. Tidak ada syarikat tersenarai awam mempunyai ahli politik sebagai pengerusi atau CEO.

“Untuk ahli politik yang ditawarkan jawatan mereka perlu tanya diri sendiri sama ada mereka layak atau tidak dan sama ada tawaran itu betul secara moralnya. Tidak rasa bersalah ke?”

“Ini adalah rasa berhak yang salah - percaya seseorang layak mendapat jawatan hanya kerana dia adalah ahli politik - tidak boleh diamalkan mana-mana parti politik.

“Rakyat berhak marah. Anda perlu letakkan orang paling layak di jawatan yang betul, apatah lagi, bila syarikat yang anda terajui diberi amanah menguruskan wang rakyat.

“Mengkhianati amanah adalah dosa paling besar dan mereka yang bercakap atas nama agama patut menasihati rakan mereka sewajarnya,” tambah Daim lagi. – 17 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen