3 lagi ahli Parlimen dilantik ke jawatan GLC


Ahli Parlimen Jelebu Jalaluddin Alias antara yang dilantik kerajaan Perikatan Nasional memegang jawatan GLC sebagai pengerusi Uda Holdings.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mei, 2020.

PELANTIKAN jawatan korporat diteruskan dengan tiga lagi ahli Parlimen Umno dilantik ke syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Mereka adalah Ahli Parlimen Jelebu Jalaluddin Alias, Ahli Parlimen Gerik Hasbullah Osman dan Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor.

Jalaluddin dilantik sebagai pengerusi Uda Holdings, Hasbullah dilantik untuk menerajui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) manakala Ramli Mohd Nor memegang jawatan pengerusi Amanah Raya Berhad.

Ketiga-tiga mereka memegang jawatan pengerusi bukan eksekutif bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa 5 Mei, 2020.

Semalam, bekas menteri pendidikan yang juga Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid dilantik sebagai pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkuatkuasa 12 Mei, 2020.

Ini susulan pelantikan tokoh korporat Mohd Bakke Salleh sebagai pengerusi Telekom Malaysia (TM) berkuatkuasa 11 Mei, 2020.

Sementara itu, Mara turut mengumumkan pelantikan bekas menteri pendidikan Maszlee Malik sebagai pengerusi jawatankuasa penasihat Mara Corp berkuatkuasa 15 Mei.

Pada 1 Mei lalu, bekas menteri besar Johor Mohamed Khaled Nordin dilantik sebagai pengerusi bukan bebas bukan eksekutif Boustead Holdings Bhd.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan pada 12 April lalu berkata, semua ahli Parlimen kerajaan akan memegang jawatan dalam GLC.

Beliau yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan undang-undang) berkata, beliau dimaklumkan semua ahli Parlimen Perikatan Nasional akan diberikan jawatan.

“MP PAS ada 18 orang, lapan orang dah jadi menteri dan timbalan menteri, seorang jadi duta khas perdana menteri ke Timur Tengah.

“Tinggal sembilan orang (lagi). Alhamdulillah saya difahamkan semua MP kerajaan akan diberikan tanggungjawab mengendalikan GLC.” – 9 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen