Rakaman suara mirip Muhyiddin sebut tawaran jawatan pikat Umno


Muhyiddin mendorong pemimpin partinya untuk meyakinkan ahli parlimen Umno untuk melompat parti, mengatakan Bersatu akan menjadi parti Melayu terbesar dalam pentadbiran baru sekiranya mereka berjaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2020.

SATU rakaman suara mirip Muhyiddin Yassin yang mengandungi ucapan berhubung rancangan meraih sokongan pemimpin Umno dengan menawarkan jawatan Kabinet dan syarikat kerajaan tular di media sosial hari ini.

Rakaman itu, yang belum disahkan, dipercayai mengandungi ucapan dalam satu mesyuarat pimpinan bekas parti komponen Pakatan Harapan tersebut pada 23 Februari.

Peristiwa itu didakwa berlaku sehari sebelum Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri dan sebelum Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari Pakatan Harapan.

Rakaman itu antara lain menyebut tawaran jawatan menteri atau ketua syarikat berkaitan kerajaan boleh diberi untuk membolehkan kerajaan baharu dibentuk dengan Umno.

”Kalau dia tahu kerajaan baru nak terbentuk, Umno masuk, ‘why don’t you come in now, why don’t you join us now rather than you join later?’

”Kalau kita ambil seorang-seorang, mungkin ada di antara mereka terutamanya kalau mereka ada tawaran-tawaran tertentu, why not?

”Saya fikir kalau itu kita lakukan, sebahagian besar mungkin tinggalkan Umno, 10 hingga 20 tinggal Najib (Razak) dan puak-puak dia.

”Lebih-lebih lagi kalau ada jawatan. (Kalau) tak jadi menteri, jadi pengerusi of GLC,” rakaman itu dipetik.

Dalam rakaman itu, individu tersebut menyebut saranan supaya pemimpin partinya meyakinkan ahli parlimen Umno untuk melompat parti.

Individu berkenaan seterusnya berkata, Bersatu akan menjadi parti Melayu terbesar dalam pentadbiran baru sekiranya mereka berjaya.

Kerajaan Pakatan Harapan runtuh ekoran tindakan Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari gabungan parti tersebut.

Muhyiddin kemudian bekerjasama dengan Umno, PAS, Gabungan Parti Sarawak dan bekas anggota parlimen PKR untuk membentuk Perikatan Nasional.

Beliau dilantik sebagai perdana menteri pada 1 Mac lalu.

Muhyiddin setakat ini masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan umum bagi menafikan atau mengesahkan ucapan dalam rakaman berkenaan. – 30 Mei 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen