LAYANAN di pusat tahanan imigresen tidak banyak yang berubah walau bertahun-tahun sudah berlalu, dari saat aktivis Tenaganita mendiang Irene Fernandez pertama kali membangkitkan kesedaran mengenai isu ini pada tahun 1990-an, menurut catatan seorang pekerja pelarian muda Heidy Quah di Facebook baru-baru ini.
Beberapa aktivis daripada kumpulan hak asasi migran dan pelarian bersetuju dengan gambaran Quah mengenai bagaimana tahanan diperlakukan, berkata mereka turut mempunyai pengalaman serupa.
Pengarah Tenaganita, Aegile Fernandez berkata sedih dengan kenyataan yang rayuan kumpulan masyarakat sivil selama bertahun-tahun tidak didengari, dan sudah menjadi “kebiasaan” bagi para tahanan mengalami keadaan memalukan sebelum dihantar pulang ke negara asal.
Tahanan yang terdiri daripada migran, pelarian dan mereka yang tidak mempunyai kewarganegaraan, dan aduan biasa termasuk kelaparan, diperlakukan secara kasar dan penderaan.
“Tempatnya sangat sempit. Ada yang tidur sambil duduk. Mereka tidak boleh bising walau sedikitpun, atau akan dipukul,” kata Aegile kepada The Malaysian Insight.
Quah, yang merupakan pengasas dan pengarah Refuge for the Refugees, menulis pada 4 Jun mengenai penderitaan seorang tahanan wanita yang ditangkap selepas melahirkan anak.
Disebabkan kekurangan kemudahan di pusat tahanan, ibu berkenaan terpaksa menggunakan kemeja-T sebagai lampin bayi sementara. Beliau juga tidak mempunyai tuala wanita untuk digunakan dan digari ketika bercakap dengan Quah.
Quah, yang catatannya dipersendakan, tidak dibenarkan memberi susu dan lampin kepada wanita itu, dan diberitahu oleh pegawai Imigresen agar menyerahkan wang agar dia dapat membeli barang-barang tersebut di kedai pusat tahanan, yang barang-barangnya dijual dengan harga mahal.
Semua ini menyedihkan tetapi tidak mengejutkkan, kata Aegile dan menambahkan bahawa mendiang kakaknya Irene, yang bersama-sama mengasaskan Tenaganita, mendedahkan penganiayaan tersebut pada 1995 dalam sebuah laporan.
Irene didakwa menerbitkan berita palsu dan didapati bersalah pada 2003. Sabitannya itu dibatalkan pada 2008 dan beliau meninggal pada 2014 ketika berusia 67 tahun.
Aegile berkata apa yang disiarkan oleh kakaknya “sangat ringan” berbanding yang dialami pendatang.
“Laporan Irene adalah mengenai keadaan hidup di pusat tahanan. Beliau ditangkap pada 1996. Apa yang diketengahkan oleh Tenaganita sangat sedikit jika dibandingkan dengan apa yang dikongsi oleh pendatang. Mereka banyak berkongsi dan memberi testimoni semasa kes mahkamah Irene. Namun, dari masa itu hinggalah sekarang, tidak banyak yang berubah.
“Tiada yang berbeza dengan apa yang diketengahkan oleh Quah. Kami tahu keadaan pusat tahanan di Malaysia. Kami tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan. Itulah sebabnya kami mempunyai reputasi buruk ketika bersuara mengenai perlakuan buruk terhadap pekerja migran,” kata Aegile.
The Malaysian Insight mendapatkan pandangan organisasi masyarakat sivil mengenai dakwaan Quah kerana kesukaran memperoleh kebenaran pihak berkuasa Imigresen bagi media memasuki pusat tahanan.

Kematian dalam tahanan
Pengarah Inisiatif Utara-Selatan Adrian Pereira berkata bukti lebih lanjut mengenai keadaan di pusat tahanan terdapat dalam laporan 2017 oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), yang juga mengetengahkan kematian lebih 100 warga asing di pusat ini.
“Ia sudah dilaporkan oleh Suhakam sebelum ini yang tahanan tidak diperlakukan dengan baik.
“Jumlah kematian bagi tahanan pendatang tidak begitu menonjol seperti kematian dalam tahanan polis, tetapi jumlahnya masih tinggi,” kata Pereira.
Laporan Suhakam memetik data oleh Jabatan Imigresen, yang mencatatkan 83 kematian tahanan pada 2015, dan sekurang-kurangnya 35 pada 2016. Alasan yang dinyatakan sebagai “pelbagai penyakit dan sebab yang tidak diketahui”. – 10 Jun, 2020.
Berita penuh di sini
Komen