Layan lebih baik pendatang asing untuk tangani pandemik, kata pakar


Sheridan Mahavera

Jabatan Imigresen dan agensi penguatkuasaan lain melakukan serbuan di sekitar kawasan Masjid India pada 1 Mei lalu dan menahan ratusan pendatang tanpa izin yang tinggal di kawasan terbabit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mei, 2020.

PENGAMPUNAN selama setahun untuk pendatang haram tampil dan menjalani ujian Covid-19 antara langkah yang boleh dilakukan jika Malaysia mengawal pandemik Covid-19, kata pakar.

Tindakan yang diambil ketika ini iaitu menahan pendatang haram atau membiarkan pekerja asing menampung kos ujian wabak amat merugikan dan meminggirkan mereka lebih jauh.

Putrajaya perlu menghentikan sentimen perkauman terhadap golongan pelarian dan warga tanpa kerakyatan, kata pakar kesihatan dan ekonomi.

Ini kerana sentimen permusuhan dan ketaksuban hanya menyebabkan virus merebak lebih cepat dalam kalangan pendatang asing yang takut menjalani ujian secara sukarela atau ketika mereka mendapat gejala.

Kata pakar kesihatan, kluster baharu dalam kalangan pendatang asing akan menular kepada penduduk tempatan, sekali gus menyebabkan jumlah kes meningkat semula.

Saranan mereka ini disuarakan susulan peningkatan kes dalam komuniti pendatang di negara ini yang dianggarkan antara tiga hingga empat juta individu yang merangkumi pekerja yang berdokumen dan tidak berdokumen, pelarian dan orang tanpa kewarganegaraan.

Semalam, Kementerian Kesihatan berkata 49 daripada 67 kes baharu Covid-19 melibatkan warga asing manakala sehari sebelumnya, 45 daripada 54 kes baharu juga daripada golongan sama.

Ahli Eksekutif Lembaga Pertubuhan Kesihatan Antarabangsa (Unitaid) Dr Fifa Rahman berkata, cara kerajaan mengendalikan isu pekerja asing dibayangi dengan perancangan, hubungan awam dan konsep asas hak asasi manusia yagn lemah.

“Anda tidak dapat melakukan dengan baik dalam menangani Covid-19, tambahan lagi melayan pendatang asing dengan cara berbeza dan tidak menghormati hak asasi mereka. Perkara ini perlu diatasi,” katanya.

Kata satu lagi perkara yang dibimbangi adalah kekurangan bantuan perubatan dan alat ujian di pusat tahanan pendatang asing yang boleh menjadi lokasi panas penularan Covid-19.

“Di pusat tahanan, terdapat seorang pembantu perubatan untuk mengendalikan ratusan pendatang. Mereka dibebani kerja dan kurang terlatih.

“Unit perubatan di pusat tahanan amat lemah di Malaysia dan kita tidak mahu mengalami nasib yang sama seperti Singapura,” katanya merujuk kepada peningkatan kes baharu di republik itu dalam kalangan pekerja asing.

Kumpulan hak asasi mengecam keputusan tidak konsisten Putrajaya dalam mengendalikan isu pekerja asing.

Pada 22 April, Putrajaya berkata operasi terhadap pendatang asing akan ditangguhkan tetapi seminggu kemudian ratusan pendatang haram ditahan dalam serbuan di Masjid India, Kuala Lumpur.

Pakar ekonomi Profesor Jomo Kwame Sundaram berkata kerajaan perlu menawarkan program pengampunan selama setahun terhadap pendatang haram supaya mereka tampil menjalani ujian Covid-19.

“Kita juga bertindak salah kerana menetapkan mereka perlu membayar untuk ujian tersebut.

“Kita cadangkan agar pengampunan diberikan dan mereka mendapat permit kerja selama setahun,” kata Jomo yang merupakan penasihat kanan Institut Kajian Khazanah (KRI).

“Mereka tinggal dalam keadaan sempit dan berisiko tinggi untuk berlaku penularan virus.” – 11 Mei, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen