Operasi tahan hampir 600 Pati tidak zalim, kata menteri


Mohd Farhan Darwis

Imigresen mengangkut Pati dalam operasi di kawasan PKPD di sekitar Masjid India semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mei, 2020.

OPERASI menahan hampir 600 migran di kawasan sekitar Masjid India semalam bukan tindakan zalim kerana individu berkenaan dijaga dengan baik, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, individu itu juga sudah disaring dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan dipastikan bebas dari Covid-19 sebelum ditahan untuk dibawa ke depoh imigresen.

Jelasnya, penahanan itu tetapi dijalankan kerana 586 individu tersebut merupakan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang sememangnya melanggar undang-undang negara.

“Pati ini dikuarantin secara wajib dalam PKPD, kita sudah buat saringan dan mereka didapati negatif.

“PKPD ini akan berakhir. Apabila berakhir mereka bebas, tetapi status mereka tidak berubah.

“Undang-undang melibatkan Pati tiada perbezaan, sebelum atau selepas PKPD. Mereka tetap salah ceroboh masuk negara,” katanya dalam sidang media.

Kumpulan hak asasi manusia menyelar Putrajaya atas penahanan Pati di kawasan PKPD terbabit.

Mereka berpendapat penahanan Pati di Jalan Masjid India dan Menara City One semalam “mengejutkan, tidak bijak, melanggar hak asasi manusia dan menganiaya masyarakat yang terpinggir.”

Tindakan itu juga dikhuatiri menjejaskan usaha mengekang pandemik Covid-19 di negara ini. – 2 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen