Dr Mahathir cabar 'pemecatan' dari Bersatu di mahkamah


Dr Mahathir Mohamad dan lima lagi bekas ahli Bersatu memfailkan saman hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 9 Jun, 2020.

DR Mahathir Mohamad dan lima pemimpin Bersatu yang bersamanya mengemukakan saman terhadap Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, antara lain berhubung kedudukan mereka sebagai ahli dan penyandang jawatan dalam parti, susulan pergolakan dalaman parti sejak tiga bulan lalu.

Mereka yang mengemukakan saman ialah empat ahli Parlimen Bersatu yang diberhentikan keahlian dari parti baru-baru ini, atas dakwaan menyertai pembangkang.
Saman turut dikemukakan terhadap Hamzah Zainuddin, setiausaha agung Bersatu yang dilantik oleh Muhyiddin, untuk menggantikan Marzuki Yahya.

Marzuki turut bertindak sebagai plaintif mempertikaikan pemecatannya sebagai setiausaha agung Bersatu.

Mereka berenam turut menyaman Muhyiddin bagi pihak Bersatu. 

Selain Muhyiddin dan Hamzah, saman itu menamakan Muhammad Suhaimi Yahya sebagai defendan ketiga, dan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) Masyati Abang Ibrahim sebagai defendan keempat.

Suhaimi adalah setiausaha kerja Bersatu yang menandatangani surat pemberhentian keahlian terhadap Dr Mahathir dan empat ahli Parlimen lain. 

Saman difailkan oleh peguam Haniff Khatri Abdulla di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Empat ahli Parlimen yang dinamakan sebagai plaintif ialah Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir, Ketua sayap Pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Maszlee Malik, dan Amiruddin Hamzah.

Selain memohon perisytiharan mahkamah bahawa keahlian mereka masih sah, mereka juga memohon mahkamah mengisytiharkan mereka masih memegang jawatan masing-masing layak bertanding dalam pemilihan parti.

Dr Mahathir juga meminta mahkamah mengisytiharkan beliau masih pengerusi Bersatu yang sah dan kekal memegang jawatan itu selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti. 

Dalam penyata tuntutan yang dilihat oleh The Malaysian Insight, mereka juga meminta mahkamah mengisytiharkan Muhyiddin dan Hamzah bukan lagi ahli Bersatu.

Mereka juga meminta semua pelantikan ahli Bersatu sebagai menteri, timbalan menteri, setiausaha politik, pegawai khas atau mana-mana jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau agensi kerajaan selepas pertukaran kerajaan pada Mac lalu terlucut.

Muhyiddin membawa keluar Bersatu daripada PH pada hujung Februari lalu untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional bersama Umno dan PAS, serta komponen Barisan Nasional. Gabungan Parti Sarawak dan beberapa wakil rakyat Sabah menyokong gabungan baharu itu.

Muhyiddin kini mempunyai majoriti tipis di Dewan Rakyat.

RoS menyokong dakwaan Muhyiddin bahawa Dr Mahathir sudah meletak jawatan selaku pengerusi parti pada Februari, tetapi ia dinafikan Dr Mahathir kerana peletakan jawatan itu ditolak parti.

Plaintif saman itu mendakwa penglibatan RoS dalam hal dalaman parti mewujudkan konflik kepentingan kerana badan itu terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri yang diterajui Hamzah, yang merupakan setiausaha agung Bersatu.

Perlembagaan Bersatu tidak membenarkan ahli membawa kemelut dalaman parti ke mahkamah.

Bagaimanapun, keenam-enam mereka berkata peraturan itu tidak lagi terpakai kerana mereka sudah tidak dianggap sebagai ahli parti. – 9 Jun 2020


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen