Peniaga rayu MBPJ buka semula pasar Jalan Othman PJ


Noel Achariam

Pasar Jalan Othman PJ masih belum dibuka sepenuhnya, kerana kerja pengubahsuaian dan pemasangan jubin sedang dilakukan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 9 Jun, 2020.

PASAR basah Jalan Othman di Petaling Jaya dibuka semula selepas rayuan daripada peniaga yang kehilangan pendapatan semasa perintah kawalan pergerakan yang diperketatkan (PKPD), kata ahli majlis Ermeemarianna Saadon.

Beliau yang bertanggungjawab di kawasan itu berkata pasar mula beroperasi pada Sabtu.

“Kami lebih suka menangguhkan pembukaan. Tetapi ramai peniaga daripada kumpulan B40 yang meminta ia dibuka kerana mereka perlu mencari nafkah. Mereka tidak mempunyai pendapatan selain berniaga di pasar.

“Kami simpati kerana sejak PKPD, mereka tidak boleh berniaga,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ermeemarianna berkata kebenaran hanya diberi kepada mereka yang mengikuti prosedur operasi standard untuk beroperasi terlebih dahulu.

MyPJ, sebuah kumpulan yang mewakili persatuan penduduk, Rukun Tetangga dan beberapa pakar meminta pasar tersebut ditutup sehingga pengubahsuaiannya selesai demi keselamatan awam.

Jurucakap MyPJ Esham Salam berkata mereka terkejut dengan keadaan pasar yang menyedihkan walaupun terdapat kerja pembersihan intensif oleh pihak majlis perbandaran dan penyewa.

Pasar ditutup pada 27 April kerana wabak Covid-19. Kawasan Jalan Othman kemudiannya diletakkan di bawah PKPD pada 10 Mei, yang ditarik balik pada 21 Mei.

Ermeemarianna berkata pasar tidak dibuka sepenuhnya, kerana kerja pengubahsuaian sedang dilakukan dan pemasangan jubin harus dilakukan.

“Kami melakukan pengubahsuaian kecil dan kemudian kami akan meninjau pengubahsuaian keseluruhan pasar.

“Semua pengubahsuaian kecil harus selesai pada akhir bulan. Hanya selepas itu baharu semua peniaga boleh menjalankan perniagaan seperti biasa.”

Terdapat kira-kira 453 gerai dan kedai yang menjual barangan basah dan kering serta pasar. – 9 Jun, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen