APABILA komuniti peniaga bundle dan vintaj di sekitar Chow Kit memulakan Facebook Suara Anak Chow Kit (SAC), ia langkah paling besar untuk mengubah cara berniaga.
Tindakan ini nekad. Seperti melemparkan kad terup terakhir, antara melakukan perubahan walaupun mencabar atau mendiamkan diri dan menanti mati.
Mereka antara 900,000 peniaga kecil yang kini di ambang sama ada kekal bertahan atau terpaksa gulung tikar.
Berdasarkan angka Kementerian Pembangunan Usahawan, hampir 9% peniaga sudah menutup perniagaan. Baki 90% lagi memiliki modal untuk yang cukup hanya untuk tiga bulan.
Sekiranya ekonomi terus kekal melemah, angka gulung tikar akan meningkat dengan mendadak. Hanya 1% peniaga kecil memiliki keupayaan tunai untuk bertahan selama setahun.
Menyedari hakikat ini, SAC memulakan langkah mengubah cara berniaga. Konsep menanti pembeli di premis bererti tiga bulan yang bakal mendatang akan sama saja seperti tiga bulan yang sudah berlalu.
Berbekalkan kamera handphone dan lampu spot 15 watt sebagai aset pencahayaan penggambaran, Facebook SAC mula bergerak ke arah jualan online secara berkumpulan.
SAC berperanan sebagai platform menyatukan perniagaan dan membentuk koloni jualan langsung Facebook secara berkumpulan.
Pengasas Bersama Facebook SAC, Omar Ahmad Badawi yang juga pemilik Bundle Karung Guni menyediakan laptop bagi kemudahan suntingan.
“Kami beli set audio wireless bagi memastikan operasi siaran langsung Facebook SAC memenuhi standard amatur tetapi berkualiti,” kata Omar.
Jualan melalui Facebook ini dimulakan dengan bajet kecil sejak 10 hari sebelum Syawal.
Selepas tiga bulan tanpa perniagaan, tiap rakan niaga yang mahu mencuba projek ini tidak memiliki modal mencukupi untuk pelaburan teknikal dan promosi Facebook SAC.
“Kami mulakan dengan apa yang ada. Ini platform untuk membantu rakan-rakan peniaga dan memastikan dalam keadaan tersepit sekarang, bisnes dapat diteruskan,” kata Omar.
Selama tiga bulan tanpa sesen pun pendapatan berikutan penutupan premis kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac dan PKP Bersyarat pada 5 Mei, perniagaan di sekitar Chow Kit merudum teruk.
Walaupun PKP dilonggarkan secara bersyarat pada 5 Mei, suasana perniagaan tetap tidak berubah. Walaupun premis dibuka, pendapatan menguncup 90%.
Suasana di Chow Kit mengalami stigma berganda apabila kawasan Pasar Jalan Raja Bot dikenakan PKP Diperketatkan (PKPD). Keadaan ini menyebabkan pembeli takut mengunjungi Chow Kit kerana dianggap zon jangkitan Covid-19.
“Saya nak dapat RM50 sehari pun sudah walaupun kedai dibuka pada 12 tengahari hingga 7 malam,” kata Shahrizal Mat Zain.
Sebagai peniaga yang menanggung kos sewa premis RM2,700 sebulan, keadaan ini menjadi beban kepada Shahrizal.
Ramadan, Syawal suram dan menakutkan
Setelah dua minggu berniaga apabila PKP dilonggarkan, keadaan di Chow Kit tetap lengang. Ini menjadikan, peniaga mula melihat realiti masa depan. Keadaan akan kekal teruk selepas hari raya.
“Saya akan lepaskan sewa kedai pada hujung Jun ini kerana bebanan sewa. Saya akan fokus bisnes di Facebook saja,” kata Shahrizal.
Bersama Omar dan lima rakan lain, SAC berharap konsep bisnes melalui jualan “live” akan membantu mereka mendapatkan pelanggan dari seluruh negara.
Sebagai peniaga pakaian, kasut, jam dan kaca mata terpakai, dengan kejatuhan 90% jualan, Shahrizal akur adalah mustahil dirinya mampu bertahan melebihi tiga bulan lagi.
“Kami segera mencuba jualan secara “live” Facebook SAC pada dua hari sebelum raya dan malam raya pertama dan hasilnya memberangsangkan,” kata Shahrizal.
Projek di Depot Gombak bersama 15 rakan peniaga berjaya menjana pendapatan sekitar RM12,000 melalui pembelian secara “live” atas talian.
“Harapan tetap ada dan di Depot Gombak kami akan berniaga secara berkelompok melalui Facebook,” kata Shahrizal.
Namun, SAC menyedari mengenai kemerosotan daya beli yang dijangka akan menjunam bulan ke bulan mendatang.
“Apa pun kami mencuba. Kami ada sekitar 20 hingga 50 kawan-kawan yang hidup dengan meniaga pakaian berjenama terpakai,” kata Omar.
SAC sedar, perniagaan atas talian antara opsyen bisnes yang dijangka berkembang pesat dan jalan terbaik apabila sudah tidak mampu menyewa premis di sekitar Kuala Lumpur.
Meneruskan perniagaan secara konversatif selepas PKP tidak akan menjamin apa-apa, kerana Covid-19 dijangka menjejaskan ekonomi dunia antara 12 hingga ke 24 bulan akan datang.
Apa yang perlu dilakukan ialah merenung dan menjalankan bisnes dengan berpandukan tips pengasas Amazon, Jeff Bezos.
Meneroka konsep jualan di Facebook memerlukan ketabahan kerana bisnes ini bukan menjanjikan kejayaan sekelip mata.
Omar dan Shahrizal serta rakan-rakan mengakui peringatan Bezos:
1. Harus percaya aplikasi bisnes digital tidak menjanjikan kejayaan mendadak selagi tidak mendapat kepercayaan pelanggan. Utamakan servis hingga pelanggan yakin platform anda pilihan terbaik.
2. Lakukan operasi digital dengan tekun.
3. Sabar dan terus berusaha mengejar kejayaan.
“Kita mulakan dulu. Jangan tunggu semuanya sempurna baru nak mulakan. Pastikan kos rendah tetapi fokus pada tiga nasihat Bezos,” kata Omar.
Walaupun sukar, peniaga kecil tidak wajar mengalah. Walaupun tertekan, hidup mesti diteruskan. Keluarga memerlukan makanan anak-anak perlukan wang persekolahan.
“Walaupun sudah berumur dan terbiasa dengan cara lama, kami sedia beralih ke bisnes cara baharu,” kata Shahrizal.
“Berniaga di Facebook bukan mudah kerana semua orang kini menuju ke arah perniagaan yang sama. Kami kena bersaing dan kreatif dalam menjadikan Facebook SAC unik, memiliki trafik tinggi dan berdaya jualan,” katanya. – 27 Mei, 2020.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen