Maria Chin minta penduduk kawasan Pasar Jalan Othman bertenang


Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah berkata penduduk di kawasan Pasar Jalan Othman yang diletakkan di bawah PKPD akan menerima bakul makanan yang akan diedarkan dari rumah ke rumah mulai hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 10 Mei, 2020.

AHLI Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah menyeru penduduk di kawasan sekitar Pasar Jalan Othman di Petaling Jaya atau lebih dikenali sebagai kawasan PJ Old Town yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) bertenang dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

Maria berkata penduduk akan menerima bakul makanan yang akan diedarkan dari rumah ke rumah mulai hari ini.

“Dengan pengumuman bahawa Seksyen 2-4 Petaling Jaya akan berada di bawah PKPD, saya akan menyumbangkan hamper makanan ke kawasan tersebut.

“Pejabat saya sedang bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menyediakan beg makanan untuk diedarkan. 

“Sejak semalam, pasukan saya telah menyediakan 1,200 bag yang akan diedarkan oleh JKM mulai hari ini. Edaran rumah ke rumah telahpun bermula, termasuk untuk golongan pekerja asing dan pelarian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Adalah untuk kepentingan diri dan keluarga anda, untuk kekal di rumah.”

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan hari ini berkata PKPD di kawasan tersebut dilaksanakan atas nasihat menteri kesihatan. 

Keputusan itu dibuat selepas 26 kes positif Covid-19 dikesan di kawasan itu dan untuk mencegah risiko jangkitan menular keluar, kata Ismail Sabri.

“Terdapat 26 kes positif Covid-19 yang berpotensi memberi risiko penularan jangkitan di kawasan Pasar Jalan Othman (PJO).

“Kerajaan atas nasihat menteri kesihatan telah memutuskan untuk melaksanakan arahan kelapan PKPD mulai 10 hingga 23 Mei,” katanya.

PKPD akan dilaksanakan selama dua minggu, bermula hari ini sehingga 23 Mei, dan melibatkan kira-kira 2,900 penduduk di tiga zon.

Kawasan yang terlibat adalah:

Zon A (Jalan Penchala, Jalan 4/33, Jalan 4/37, Jalan 4/39, Jalan 4/41, Jalan 4/44, Jalan Terus 4/42, Jalan 4/43, Jalan 4/46 dan Jalan Othman 4 / 4D); Zon B (Jalan 2/29, Jalan 2 / 29A, Jalan 2/27, Jalan 2/32, Jalan 2/25, Jalan 2/26, Jalan 2/34, Jalan 2 / 34A, Jalan 2/23, Jalan Dispensary 2/38 dan Jalan Pasar 1/21); dan Zon C (Jalan Selangor, Lorong 3 / 57D, Lorong 3 / 57C, Jalan RIDA 3/56 dan Jalan Sentosa 3/57). – 10 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen