Peniaga positif Covid-19, pasar Jalan Othman, PJ diarah tutup


Ragananthini Vethasalam

Pasar di Jalan Othman, Petaling Jaya akan ditutup untuk sekurang-kurangnya lima hari selepas seorang peniaganya disahkan positif Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 April, 2020.

PASAR di Jalan Othman, Petaling Jaya akan ditutup untuk sekurang-kurangnya lima hari selepas seorang peniaganya disahkan positif Covid-19, pasar kedua di Selangor yang ditutup selepas koronavirus dikesan.

Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya Johary Anuar berkata terdapat satu kes positif virus itu dikesan di premis berkenaan.

“Pasar di bandar lama Petaling Jaya itu diarahkan ditutup untuk lima hari sekurang-kurangnya, bermula hari ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pasar Taman Megah diarahkan tutup semalam selepas seorang penjual sayur disahkan positif virus itu.

Johari berkata peniaga di pasar Taman Megah akan menjalani ujian saringan bermula 9 pagi esok, sementara ujian saringan bagi peniaga di Jalan Othman bermula 9 pagi Rabu.

Ujian saringan akan dilakukan di pasar berkenaan.

“Peniaga di bahagian ikan di pasar Jalan Othman diminta hadir,” katanya.

Johari juga meminta orang awam yang ada kontak dengan peniaga di pasar basah Jalan Othman dari 5 April hingga 18 April dan di pasar Taman Megah dari 11 April hingga 25 April, untuk menjalani ujian saringan di klinik kesihatan SS6 Kelana Jaya dan Taman Medan.

Terdapat 578 peniaga di pasar Jalan Othman, dengan 21 daripadanya di bahagian jualan ikan. – 27 April, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen