Hamzah Zainuddin umum hasil mesyuarat MPT Bersatu hari ini


Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin ketika menghadiri MPT parti di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya, di Kuala Lumpur, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 5 Jun, 2020.

SETIAUSAHA Agung Bersatu Hamzah Zainuddin dari kem presiden Muhyiddin Yassin akan mengadakan sidang media hari ini untuk mengumumkan hasil mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu yang berakhir lewat malam tadi.

Sidang media itu akan menjawab semua persoalan mengenai perbincangan pada mesyuarat itu, katanya.

“Perbincangan kita panjang sangat, satu persatu saya akan jelaskan (hari ini), lebih mudah. Masa (sidang media) akan dimaklumkan,” katanya, seperti dipetik Bernama.

Mesyuarat MPT Bersatu di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya, di Kuala Lumpur, malam tadi, dipercayai berlangsung lebih kurang tiga jam, berakhir sekitar 11.30 malam.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin tidak bertemu dengan media yang menunggu sejak pukul 8 malam. Beliau dilihat meninggalkan lokasi mesyuarat lebih kurang pukul 11.40 malam.

Laporan Bernama juga memetik ahli MPT Bersatu yang juga Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata mesyuarat berlangsung dalam suasana harmoni.

“Semua bagi sokongan kepada perdana menteri dan presiden parti (Muhyiddin),” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Redzuan Md Yusof juga dipetik berkata perbincangan dibuat secara baik.

“Mesyuarat berlangsung dengan baik sekali, saya rasa PN (Perikatan Nasional) sangat stabil,” katanya.

Empat anggota MPT Bersatu dari kem Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun keluar mesyuarat awal, dua jam selepas mesyuarat berlangsung atas alasan tidak puas hati dengan perbincangan mesyuarat.

Mereka ialah bekas setiausaha politik kepada Dr Mahathir, Abu Bakar Yahya; Ketua Penerangan Pemuda Bersatu, Ulya Aqamah Husamudin, serta Tariq Ismail dan Akhramsyah Muamar Ubaidah Sanusi.

Menurut Ulya, mereka menolak dua isu: pemberhentian keahlian lima ahli Parlimen Bersatu termasuk pengerusi Dr Mahathir, dan penyertaan Bersatu dalam PN.

Bersatu minggu lalu mengeluarkan notis makluman pemberhentian keahlian kepada Dr Mahathir dan empat ahli Parlimen parti itu yang lain dengan alasan mereka duduk di blok pembangkang semasa sidang Parlimen pada 18 Mei lalu.

Mesyuarat MPT Bersatu malam tadi berlangsung ketika seorang timbalan menteri dalam pentadbiran Muhyiddin, Dr Shahruddin Md Salleh, yang juga dilihat “orang kuat” beliau, letak jawatan dalam kerajaan petang semalam.

Bekas setiausaha politik Muhyiddin antara 1998-2209 itu letak jawatan dengan alasan tersalah memberi sokongan kepada PN, namun pada masa menyatakan kekal sebagai ahli Parlimen PN.

Setakat semalam, Shahruddin belum lagi memberikan penjelasan mengenai kedudukan sebenar sokongan politiknya ketika kerajaan Muhyiddin dilihat mempunyai majoriti paling tipis dalam sejarah kerajaan Malaysia.

Bersatu kini terbelah dua selepas Muhyiddin membawa parti keluar daripada Pakatan Harapan dan membentuk gabungan baharu bersama Umno dan parti-parti lain atas nama PN.

Dr Mahathir dan kumpulannya mendakwa tindakan itu tidak mendapat mandat parti. Mereka juga sudah merujuk bantahan itu kepada pendaftar pertubuhan. – 5 Jun, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen