4 ahli MPT Bersatu tinggalkan mesyuarat


Noel Achariam

Akhramsyah Muamar Ubaidah bercakap kepada media selepas keluar dari mesyuarat yang diadakan di Kelab Rumah Pertubuhan Alumni Universiti Malaya di Jalan Susur Damansara, Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 4 Jun, 2020.

EMPAT ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu meninggalkan mesyuarat yang dipengerusikan oleh presiden Muhyiddin Yassin selepas tidak berpuas hati dengan penyingkiran Dr Mahathir Mohamad sebagai ahli parti yang dikatakan mereka sebagai tidak sah.

Mereka ialah Setiausaha Politik Dr Mahathir; Abu Bakar Yahya, Tariq Ismail Mustafa, Akhramsyah Muamar Ubaidah Sanusi dan Ulya Aqamah Husamuddin.

Ketua Penerangan Armada Ulya berkata tindakan itu sebagai tanda protes pada mesyuarat parti yang diadakan di Kelab Rumah Pertubuhan Alumni Universiti Malaya di Jalan Susur Damansara, Kuala Lumpur.

“Kami keluar keluar kerana protes (menentang penyingkiran Dr Mahathir). Ada dua perkara yang tidak akan kami terima.

“Iaitu penyingkiran Dr Mahathir dan penyertaan Bersatu dalam Perikatan Nasional,” katanya. 

Minggu lalu Dr Mahathir dan empat yang lain dilucut keahlian mereka dari Bersatu kerana duduk di bangku pembangkang ketika persidangan pembukaan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Empat yang lain ialah Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir; Ketua Pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Dr Maszlee Malik serta Ahli Parlimen Kubang Pasu Amiruddin Hamzah.

Kesemua mereka mempertikaikan pelucutan keahlian berkenaan sambil menegaskan mereka masih menjadi ahli parti.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin tiba di Kelab Rumah Pertubuhan Alumni Universiti Malaya di Jalan Susur Damansara, Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 4 Jun, 2020.

Akhramsyah berkata jika mereka mahu menyingkirkan Dr Mahathir dan empat ahli yang lain, ia harus dilakukan secara logik.

“Alasan yang diberikan kerana Dr Mahathir dan empat yang lain duduk di kerusi pembangkang.

“Tetapi masalahnya kami tidak bersetuju untuk bergabung dengan Perikatan Nasional. Tambahan pula Bersatu tidak mempunyai minit mesyuarat mengatakan kami sudah bergabung dengan PN.

“Jadi bagaimana kita boleh hukum lima ahli Parlimen ini ketika mereka memutuskan untuk tidak duduk bersama PN di Parlimen,” katanya.

Akhramsyah berkata mereka sepatutnya mengadakan mesyuarat sebelum Parlimen bersidang untuk menyelesaikan masalah di antara kedua-dua puak itu.

“Tidak ada mesyuarat yang dipanggil. Isu ini sangat pelik kerana jika Dr Mahathir tidak bergabung dengan PN apakah itu bermaksud semua ahli Parlimen Bersatu akan dipecat? Kerana sebelum ini tidak ada keputusan untuk bergabung dengan PN,” katanya.

Dr Mahathir meletak jawatan sebagai pengerusi Bersatu selepas melepaskan jawatan perdana menteri pada Februari lalu.

Muhyiddin kemudiannya membawa Bersatu keluar dari gabungan PH dan bergabung dengan Umno, PAS, PKR dan parti-parti dari Sabah serta Sarawak untuk membentuk Perikatan Nasional.

Dr Mahathir bagaimanapun sejak itu berkata beliau masih memegang jawatan pengerusi Bersatu walaupun Pejabat Pendaftar Pertubuhan mengesahkan pengunduran dirinya. – 4 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen