Bersatu milik ahli yang pegang semangat asal parti, kata Dr Mahathir dan sekutu


Bersatu milik ahli yang pegang semangat asal parti, kata Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2020.

BERSATU yang sebenarnya adalah milik pemimpin dan ahli parti yang masih berpegang teguh pada semangat asal perjuangan parti, kata Dr Mahathir Mohamad dan empat wakil rakyat yang menyokongnya, yang minggu lalu disingkirkan dari parti.

Mereka membuat kenyataan itu ketika parti terpecah dua antara kelompok Dr Mahathir dan kumpulan presiden Muhyiddin Yassin, yang pada hujung Februari lalu membawa parti keluar dari Pakatan Harapan (PH) dan membentuk gabungan baharu Perikatan Nasional (PN).

Dalam satu kenyataan bersama, kelima-lima ahli Parlimen itu berkata kerajaan pimpinan Muhyiddin bukan pilihan rakyat sementara kerajaan “yang sah dan hak” ialah pentadbiran PH.

“Kembalikanlah mandat rakyat. Janganlah tunduk kepada kepentingan diri seperti yang ditunjuk oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Bersatu milik kami dan ahli-ahli parti yang setia dengan prinsip asal perjuangan parti,” kata mereka dalam kenyataan, hari ini.

Selain Dr Mahathir sebagai pengerusi, kenyataan dikeluarkan bersama oleh Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir, Ketua Pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi merangkap Ketua Bahagian Bersatu Simpang Renggam Maszlee Malik, dan Ketua Bahagian Bersatu Kubang Pasu, Amiruddin Hamzah.

Kelima-lima mereka juga menegaskan tindakan dan pendirian tidak menyokong kerajaan Muhyiddin atau PN bukan bermakna mereka keluar dari Bersatu, sehingga parti boleh mengambil tindakan menghentikan keahlian mereka.

“Kami tidak pernah mengisytiharkan keluar daripada parti mahupun menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti politik lain di negara ini.

“Pilihan kami untuk tidak menyokong kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Perikatan Nasional tidak bermakna keluar parti,” kata mereka.

Pada Khamis lalu, setiausaha kerja Bersatu mengeluarkan surat kepada kelima-lima mereka memaklumkan mereka bukan lagi ahli parti, antara lain kerana duduk di blok pembangkang semasa sidang Parlimen pada 18 Mei.

Dalam kenyataan hari ini, mereka mengulangi penegasan bahawa surat itu tidak boleh dikeluarkan oleh Muhammad Suhaimi Yahya, tanpa terlebih dahulu melalui proses dirujuk kepada jawatankuasa disiplin.

Jumaat lalu, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin dari kem Muhyiddin mempertahankan tindakan ke atas kelima-lima ahli Parlimen itu.

Dalam kenyataan hari ini juga, kelima-lima ahli Parlimen yang tersingkir dari Bersatu itu berkata yang sepatutnya dikenakan tindakan bukan mereka tetapi Muhyiddin dan kumpulannya yang melanggar peraturan parti.

Kata mereka, Muhyiddin dan enam lagi ahli Parlimen Bersatu melanggar peraturan parti apabila keluar Pakatan Harapan (PH) untuk bersama parti-parti lain dalam gabungan PN.

Tiada mana-mana ahli Bersatu yang mengatasi peraturan parti, tambah mereka.

“Perbuatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan enam lagi Ahli Parlimen lain yang menyatakan keluar daripada Pakatan Harapan jelas melanggar Perlembagaan Parti kerana tiada keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi untuk keluar dari Pakatan Harapan.

“Maka, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan enam (6) lagi Ahli Parlimen tersebut telah melanggar etika Parti dan wajar dihadapkan ke Lembaga Disiplin,” kata mereka.

Kenyataan mereka bagaimanapun tidak menyebut enam ahli Parlimen itu.

Kumpulan penyokong Muhyiddin mendakwa keputusan keluar PH dibuat oleh MPT dalam mesyuaratnya pada 23 Februari. Dakwaan itu dibantah oleh Dr Mahathir yang mendakwa mesyuarat itu menyerahkan kepada beliau untuk untuk membuat keputusan. – 2 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen