Dr Mahathir berhenti sendiri daripada Bersatu, kata Hamzah Zainuddin


Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin berkata Dr Mahathir Mohamad dan empat yang lain bukan dipecat tetapi secara undang-undang keahlian mereka terhenti kerana bersama dengan blok pembangkang semasa sidang Parlimen pada 18 Mei lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 29 Mei, 2020.

SETIAUSAHA Agung Bersatu Hamzah Zainuddin dari kem Presiden Muhyiddin Yassin mempertahankan keputusan parti memberhentikan keahlian Dr Mahathir Mohamad dan empat ahli Parlimen parti yang lain, semalam.

Katanya, mereka bukan dipecat daripada Bersatu tetapi secara undang-undang keahlian kelima-lima mereka terhenti kerana bersama dengan blok pembangkang semasa sidang Parlimen pada 18 Mei lalu.

“Saya ingin tegaskan bahawa kelima-lima mereka tidak dipecat daripada parti, tetapi keahlian mereka telah terhenti kerana melanggar perlembagaan parti. 

“Ini adalah berlandaskan perlembagaan parti kerana kepentingan parti adalah lebih utama dari mana-mana individu. 

“Tiada sesiapa mengatasi undang-undang apabila parti mempunyai perlembagaannya sendiri,” katanya membaca teks yang disediakan dalam sidang media di ibu pejabat parti di Petaling Jaya, hari ini.

Hamzah juga menyebut beberapa “kesalahan” Dr Mahathir yang lain, termasuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin dan membuat kenyataan bertekad menjatuhkan perdana menteri.

Sidang media itu diadakan lebih kurang sejam selepas Dr Mahathir mengadakan sidang media di bangunan sama menegaskan pemberhentiannya tidak sah dan beliau masih lagi pengerusi dan ahli Bersatu.

Surat pemberhentian keahlian Dr Mahathir dan empat ahli Parlimen itu semalam bagaimanapun bukan ditandatangani oleh Hamzah, sebaliknya dikeluarkan oleh Setiausaha Kerja Bersatu Muhammad Suhaimi Yahya. 

Hamzah menjelaskan beliau dimaklumkan oleh pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu Megat Najmuddin Megat Khas bahawa tindakan itu tidak memerlukan proses di hadapan lembaga kerana keahlian itu terhenti sendiri mengikut perlembagaan parti.

Fasal 10 Perlembagaan Bersatu menyebut keahlian seseorang anggota parti terhenti serta merta apabila beliau antara lain, mengisytiharkan keluar dari parti (10.2.2) dan menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti di Malaysia (10.2.3).

Dr Mahathir dan empat ahli Parlimen lain yang dikeluarkan surat pemberhentian semalam menegaskan mereka tidak keluar parti dan tidak menyertai parti lain, dan kerana itu masih ahli parti yang sah.

Dalam kenyataan medianya, Hamzah mengulangi bahawa tindakan keluar Pakatan Harapan (PH) diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada 23 Februari – mesyuarat yang jadi pertikaian antara kem Muhyiddin dan Dr Mahathir.

Hamzah juga berkata Muhyiddin yang memangku tugas sebagai pengerusi parti telah melantiknya beliau sebagai setiausaha agung yang baharu pada 26 Mac, menggantikan Marzuki Yahya yang dipecat pada 18 Mac.

“Dengan perlantikan ini, semua arahan atau kenyataan yang dikeluarkan Marzuki yang mendakwa dirinya sebagai Setiausaha Agung Bersatu adalah tidak sah serta merupakan satu salah guna kedudukan,” katanya.

Sejak dua bulan lepas, Bersatu terbelah dua antara penyokong Dr Mahathir dan Muhyiddin, susulan langkah politik parti berkerjasama dengan Umno.

Bersatu sejak lebih dua bulan lalu tidak menganggap Dr Mahathir sebagai pengerusi parti selepas beliau letak jawatan pada 24 Februari lalu, pada hari yang sama beliau letak jawatan perdana menteri.

Dr Mahathir letak jawatan kerana tidak bersetuju dengan langkah Bersatu keluar PH dan bekerjasama dengan Umno untuk membentuk kerajaan baharu. Beliau baru-baru ini mengulangi penegasan Bersatu ditubuhkan untuk menggantikan Umno sebagai parti Melayu dan Bumiputera.

Hamzah dalam sidang medianya turut mendedahkan membawa Bersatu keluar PH adalah idea asal Dr Mahathir yang mahu mengurangkan pengaruh DAP dan mengukuhkan kepimpinan Melayu. – 29 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen