Jernihkan ambiguiti politik Pakatan


PADA 26 Februari 2020, dalam satu sidang media khas, Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri interim, dengan jelas menyatakan cadangan beliau untuk mewujudkan kerajaan campuran sebagai penyelesaian krisis politik pada ketika itu. 

Cadangan beliau ditolak oleh pimpinan Pakatan Harapan (PH) pada 27 Februari 2020. Perbezaan pendirian politik ini sudah jelas.

Kemudian, pada 1 Mac 2020, Dr Mahathir juga menempelak Anwar Ibrahim sebagai orang yang “gila-gila” mahu jadi perdana menteri sedangkan jumlah sokongan terhadapnya tidak mencukupi. 

Pada masa sama, PH terus dengan pendirian untuk mengekalkan Anwar sebagai calon PM mereka. Perbezaan politik ini bertambah jelas.

Dalam semua kedudukan perbezaan yang bertambah-tambah jelas ini, pada 17 Mei lalu PH masih dilihat bersama dengan Dr Mahathir dalam mesyuarat pimpinan PH dan selepas itu mengeluarkan kenyataan bersama dan memberi keutamaan mengambilalih kuasa daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Isu pertama yang perlu diberi perhatian, mengapa pimpinan PH meletakkan keutamaan politik ini di tengah-tengah kegawatan pandemik koronavirus dan darurat ekonomi yang boleh membawa persepsi yang salah kepada rakyat terhadap keutamaan pimpinan PH ketika ini. 

Kita mempunyai masa sekitar dua atau tiga tahun untuk mempersiapkan agenda dan jentera untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15. 

Pada masa ini, sebaiknya PH mengutamakan usaha memperkukuhkan organisasi parti dan pada masa sama, PH perlu membantu memperbaiki keadaan rakyat. 

Selain itu, PH boleh terus mendesak kerajaan PN untuk menghormati demokrasi khususnya berhubung dengan perjalanan mesyuarat sidang Dewan Rakyat yang lebih telus dan adil.

Isu kedua, berdasarkan senario pendirian politik Dr Mahathir dan PH mengenai kerajaan campuran dan kelayakan Anwar sebagai calon PM, justeru apakah status hubungan PH dan Dr Mahathir ketika ini?

Perkara ini perlu digariskan dengan jelas memandangkan dalam sidang media terbaru selepas sidang Parlimen semalam, Dr Mahathir mendakwa partinya Bersatu masih kekal dalam PH sedangkan pada masa yang sama Bersatu bersama presidennya Muhyiddin Yassin telah menjadi kerajaan dan sedang memeterai memorandum persefahaman dengan Umno dan lain-lain parti.  

PH harus tegas untuk segera menamakan calon PM jika benar-benar berhasrat mahu menuntut kembali kuasa dari kerajaan PN. Sekurang-kurangnya, PH tidak lagi terjerat seperti sebelumnya dalam masalah peralihan kuasa. 

Saya menyifatkan gerak politik PH pada hari ini akan menjerumuskan perjuangan ahli-ahli dan penyokong parti ke suatu tahap yang penuh dengan ambiguiti politik. 

Kekaburan ini mengundang kekeliruan dan akhirnya akan memberi kesan terhadap keyakinan rakyat kepada PH itu sendiri.

Masa yang terbaik untuk PH memperbaiki kelemahan, bekerja untuk mengembalikan keyakinan rakyat dan peluang untuk menonjolkan pimpinan baharu, janganlah disia-siakan dengan politik yang penuh dengan ambiguiti. 

Kita tidak mahu hasil mengkhianati usaha. – 19 Mei, 2020.

* Mahdzir Ibrahim, ahli Jawatankuasa DAP Johor.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen