Jangan hanya cakap, tunjukkan hak pramugari dibenar bertudung, kata Amanah


Diyana Ibrahim

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz perlu membuktikan bahawa beliau menolak diskriminasi terhadap wanita bertudung dengan membenarkan pramugari Malaysia Airline Berhad (MAS) bertudung, kata Khalid Samad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2017.

MENTERI Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz didesak buktikan yang beliau menolak diskriminasi terhadap wanita bertudung dengan membenarkan pramugari Malaysia Airline Berhad (MAS) bertudung.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad melihat dasar itu mudah dilakukan memandangkan MAS merupakan syarikat milik kerajaan.

“Kalau betul nak buat tindakan betul, bagilah contoh yang betul juga. 

“Benarkan pramugari MAS bertudung, sebab kita semua tahu MAS milik kerajaan. Mereka ada kuasa untuk buat peraturan demikian,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Khalid berkata demikian berhubung kenyataan Nazri semalam yang menolak diskrimasi terhadap wanita bertudung dalam perkerjaan, termasuklah pramugari.

Pada masa sama, wakil rakyat Amanah itu juga menyelar Nazri yang dilihat cuba mempergunakan isu bertudung sebagai kempen politknya memandangkan pilihan raya semakin dekat

“Nazri ini janganlah nak ambil kesempatan nak tunjuk hero. Kalau betul tunjuklah contoh, bagi pada MAS, jangan hanya cakap tapi tindakan tidak ada apa.”

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu Raja Kamarul Bahrin berkata, MAS bukan sahaja patut membenarkan pramugarinya untuk bertudung malah syarikat penerbangan itu juga perlu membatalkan polisi menyediakan minuman alkohol kepada pelanggannya.

“Jika betul Nazri berpendirian begitu, kami alu-alukan. Benarkan pramugari MAS bertudung.

“Tapi kita kena tengok juga bagaimana pula dengan hidangan arak percuma, wiski. Tak manis kalau pramugari bertudung tapi hidangkan arak percuma.

“Sebab itu Nazri jangan main politik, kalau betul pendirian dia, buatlah dengan tulus,” katanya.

Semalam, Nazri mendakwa, hak seseorang untuk bertudung pada mana-mana sektor pekerjaan tidak sepatutnya dikompromi termasuk mereka yang bertugas dengan syarikat penerbangan. 

Nazri berkata, perkara itu bukan sahaja terhad kepada orang Islam tetapi juga kepada bukan Islam. 

“Apa-apa perkara berkaitan perkara ini adala dalam perlembagaan (persekutuan) dan ia tidak boleh dirunding atau dikompromi. Ia semudah itu. 

“Dan ini (larangan) bukan hanya kepada orang Islam sahaja. Pernahkah anda lihat lelaki bergama Sikh bekerja di kaunter, dan memakai turban? Tidak pernah. 

“Saya percaya mereka (lelaki Sikh) sengsara dalam diam. Saya percaya ini juga syarat yang dikenakan terhadap lelaki beragama Sikh,” katanya. – 23 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Ya ya...betul betul YB Shah Alam. Janganlah pandai bermain lidah & meludah di persada dunia; kasih tunjuk sama dia dekat MAS...yang semestinya boleh menjadi model bagi kepimpinan menerusi teladan!

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Musang Wang · Ulasan