Pramugari juga ada hak untuk bertudung, kata Nazri 


Asila Jalil

HAK seseorang untuk bertudung pada mana-mana sektor pekerjaan tidak sepatutnya dikompromi termasuk mereka yang bertugas dengan syarikat penerbangan, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz. 

Nazri berkata, perkara itu bukan sahaja terhad kepada orang Islam tetapi juga kepada bukan Islam. 

“Apa-apa perkara berkaitan perkara ini adala dalam perlembagaan (persekutuan) dan ia tidak boleh dirunding atau dikompromi. Ia semudah itu. 

“Dan ini (larangan) bukan hanya kepada orang Islam sahaja. Pernahkah anda lihat lelaki bergama Sikh bekerja di kaunter, dan memakai turban? Tidak pernah. 

“Saya percaya mereka (lelaki Sikh) sengsara dalam diam. Saya percaya ini juga syarat yang dikenakan terhadap lelaki beragama Sikh,” kata Nazri di Dewan Rakyat hari ini.

Nazri berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bachok Ahmad Marzuk Shaary yang meminta pandangan kementerian berhubung pramugari beragama Islam yang bekerja dengan syarikat penerbangan tempatan dan mahu menutup aurat mereka.

Nazri juga berkata, larangan bertudung bagi pekerja hotel di barisan hadapan telah melanggar tiga peraturan di bawah Perlembagaan Persekutuan antaranya perlembagaan menetapkan agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan negara, tetapi agama lain bebas diamalkan dalam suasana aman dan harmoni. 

“Peraturan kedua yang dilanggar di bawah Perlembagaan Persekutuan adalah perlembagaan menyatakan tidak boleh wujud diskriminasi terhadap rakyat atas alasan agama, bangsa, tempat lahir atau jantina untuk satu pekerjaan.

“Peraturan ketiga menyatakan semua rakyat Malaysia bebas mengamalkan agama mereka. Dengan melaksanakan larangan ini, ia secara tidak langsung menafikan hak untuk seseorang mengamalkan agama mereka dan dalam kes ini membabitkan ajaran Islam yang mewajibkan wanita beragama Islam menutup aurat,” kata Nazri.

Tambah Nazri, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) perlu menasihati hotel sebaliknya berkata larangan bertudung merupakan amalan antarabangsa.

“Terdapat perkara yang tidak boleh dirunding. Sekiranya kita, ahli Parlimen tidak mahu berjuang untuk hak kita, bagaimana untuk kita wakili rakyat Malaysia di Dewan Rakyat?” Kata Nazri menjawab Ahli Parlimen Kuala Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (Amanah-Kuala Terengganu) yang berkata kementerian perlu mengambil langkah proaktif dalam menangani isu membabitkan larangan bertudung.

MAH mempertahankan polisi melarang kakitangan barisan hadapan daripada mengenakan tudung, dan berkata ia merupakan amalan antarabangsa dan tidak bermaksud untuk melakukan diskriminasi.

Presidennya Cheah Swee Hee berkata, hotel terutamanya bertaraf antarabangsa di Malaysia mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan dasar itu.

MAH mempertahankan dasar itu selepas Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) dan Wanita Antarabangsa Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq) baru-baru ini berkata, pekerja hotel membuat aduan pekerja beragama Islam di barisan hadapan diminta menanggalkan tudung mereka.

Katanya, ia turut berlaku kepada pelajar pelancongan dan hospitaliti yang menjalani latihan industri. – 22 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen