Kebiasaan baharu dengan kerajaan baharu


Noor Azam Shairi

Muhyiddin Yassin memimpin kerajaan Perikatan Nasional selepas Pakatan Harapan ditumbangkan menerusi rundingan di meja politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 April, 2020.

ADA beberapa kebiasaan baharu yang perlu kita belajar menyesuaikan diri, selepas pentadbiran di Putrajaya beralih tangan daripada Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional, bukan melalui peti undi tetapi rundingan di meja politik.

Kebiasaan baharu ini ternampak daripada cara kerajaan yang baharu ini berurusan dengan media dan berkomunikasi.

Kita ambil contoh paling dekat dan paling hangat: Patut buka atau tidak kedai gunting rambut? 

Perkhidmatan gunting rambut yang asas adalah antara sembilan industri dan perkhidmatan yang diberi kelonggaran oleh kerajaan untuk beroperasi minggu depan.

Kelonggaran itu diberikan tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan. Kelulusannya nanti diberikan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atas permohonan yang boleh dibuat mulai Isnin.

Menteri kanan ekonomi Mohamed Azmin Ali mengumumkan kelonggaran itu pada petang Jumaat, selepas keputusan kerajaan melanjutkan tempoh perintah kawalan pergerakan untuk dua minggu lagi sehingga 28 April. 

Ketika itu hanya itu saja yang diumumkan. Yang diumumkan hanya kelonggaran yang dibenarkan tetapi apa yang perlu dibuat serta bagaimana kelonggaran itu perlu dilaksanakan, tidak jelas. Umum tidak tahu.

Tidak sampai 24 jam kemudian, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah yang diminta mengulas mengenainya menasihati kerajaan supaya menangguhkan dahulu beberapa kelonggaran itu kerana perang melawan Covid-19 belum selesai.

“Kita sedang berjuang memerangi Covid-19. Kita masih belum menang tetapi tindakan kita selama ini dapat tanda kejayaan menurunkan kes.

“Jadi kalau kita lihat semula, semua tindakan kita seharusnya diperketatkan untuk fasa ketiga,” kata Dr Noor Hisham.

“Konsepnya mudah: duduk di rumah dan kurangkan jangkitan,” tambahnya.

Menteri kanan ekonomi Mohamed Azmin Ali mengumumkan kelonggaran itu pada petang Jumaat, selepas keputusan kerajaan melanjutkan tempoh perintah kawalan pergerakan untuk dua minggu lagi sehingga 28 April. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 April, 2020.

Itulah mesej yang beliau sudah ulang hampir setiap hari, apabila memaklumkan perkembangan terkini penularan Covid-19 di Malaysia, pada setiap jam 5 petang.

Kelonggaran yang diumumkan oleh Azmin ditolak oleh tukang gunting dan pendandan rambut. Sembilan dalam 10 ahli Persatuan Pendandan Rambut Malaysia tidak mahu membuka balik perniagaan mereka sekarang, kalau kerajaan benarkan sekali pun.

Nyawa lebih mustahak daripada menjaga penampilan diri, kata persatuan. 

Di media sosial pula riuh dengan debat yang sama: mahu pendek rambut atau mahu pendek nyawa?

Bukan kelonggaran itu sahaja yang disambut dengan was-was, kalau pun tidak ditolak terus, seperti yang persatuan tukang gunting dan pendandan rambut buat. 

Badan Peguam Malaysia dalam satu pekeliling pada Sabtu juga menasihati firma guaman supaya terus ditutup buat masa ini walaupun ada kerajaan beri kelonggaran untuk beroperasi.

Ketika semua hal itu terus dibincangkan, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Wan Junaidi Tuanku Jaafar tampil menjelaskan bahawa kelonggaran yang Azmin umum itu sebenarnya dimaksudkan untuk zon hijau

Zon hijau merujuk pada daerah yang tiada jangkitan Covid-19.

Kelonggaran yang diumumkan oleh Azmin ditolak oleh tukang gunting dan pendandan rambut. Sembilan dalam 10 ahli Persatuan Pendandan Rambut Malaysia tidak mahu membuka balik perniagaan mereka sekarang, kalau kerajaan benarkan sekali pun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 April, 2020.

Hari ini, menteri kanan keselamatan Ismail Sabri Yaakob juga memberikan penjelasan sama bahawa hanya kedai gunting di zon hijau yang akan diberi kelonggaran

Setakat semalam, ada 29 daerah masih dalam kategori zon hijau – empat di Semenanjung Malaysia, 17 di Sarawak, dan tujuh di Sabah.

Hampir 48 jam selepas pengumuman Azmin, barulah kita jelas satu perkara – kelonggaran itu diberikan untuk zon hijau. 

Maklumat itu tiada dalam kenyataan Azmin pada Jumaat. Bayangnya tiada, baunya pun tiada walaupun kenyataan itu menyebut perbincangan untuk memutuskan kelonggaran itu melibatkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara. Kelonggaran itu juga diluluskan oleh Jemaah Menteri, kata Azmin.

Yang dijelaskan pula setakat ini hanya tentang kedai gunting rambut. Yang lain bagaimana? Yang mana boleh, yang mana tidak boleh? Kalau boleh, bagaimana?

Mesej yang kurang jelas, tidak lengkap atau bercanggah, apalagi yang dimaklumkan oleh menteri dan kerajaan, menambah resah dalam kalangan rakyat yang sememangnya sudah cukup resah berkurung sejak hampir sebulan.

Ironi, suatu kebiasaan baharu

Pengumuman Azmin dan penjelasan berikutnya, ironinya muncul ketika Ismail memberi amaran kepada media supaya lebih berhati-hati dalam membuat laporan.

Jangan lapor berita tidak tepat dan mengelirukan, terutamanya kenyataan rasmi kerajaan, katanya.

“Kita akan ambil tindakan tegas terhadap portal berita yang melaporkan berita mengelirukan dan tidak tepat,” katanya pada Sabtu.

Tetapi, yang mana satu yang sebenarnya mengelirukan – laporan media atau kenyataan rasmi kerajaan itu sendiri?

Ismail memberi amaran itu ketika akses media kepada Putrajaya umumnya semakin menyempit. 

Tidak semua media kini diberi peluang yang sama hadir dan bertanya soalan dalam sidang media menteri; sesetengahnya hanya bergantung pada siaran langsung melalui televisyen atau Facebook. 

Akibatnya, tidak semua persoalan yang perlu dicari jawapan ditanya pada ketika semua itu sepatutnya ditanya. Ada yang tercicir dan tinggal tidak terjawab di tengah hal-hal yang tak selesai tentang Covid-19.

Perlahan-lahan, tanpa sedar, kita sedang dipimpin untuk kembali ke suatu masa ketika naratif rasmi dikawal dengan ketat dan mempersoalkannya dianggap satu kerja jahat.

Berita palsu

Amaran Ismail juga muncul ketika Jabatan Penerangan Malaysia mengeluarkan notis peringatan di media sosial mengenai berita palsu.

Notis itu menyenarai enam jenis “berita palsu”, antaranya “menjatuhkan maruah dan imej individu, reputasi organisasi dan negara” dan “menanam kebencian terhadap kerajaan pemerintah dan pemimpin”.

Ini jenaka sekali. Tidak semua berita atau maklumat yang menjatuhkan imej atau reputasi, atau menanam kebencian terhadap pemerintah dan pemimpin, boleh dengan selamat dianggap berita palsu.

Adakah kenyataan terlajak kata seorang dua menteri baru-baru ini, yang sampai dikutip oleh media antarabangsa – yang menjatuhkan bukan saja imej mereka sendiri tetapi jawatan dan kerajaan – jatuh hukum sebagai “berita palsu”?

Adakah berita palsu juga kalau yang media laporkan adalah fakta yang sudah disemak dan lulus pelbagai ujian kesahihan di bilik berita tetapi apabila disiar menyebabkan rakyat benci kepada pemimpin?

Takrif Jabatan Penerangan tentang berita palsu sangat mengelirukan. Takrif itu keruh dan kabur. Takrif itu boleh menyebabkan orang salah faham tentang apa sebenarnya berita palsu. 

Malang sungguh Malaysia kalau pihak berkuasa berpegang pada takrif ini – yang sudah tentulah takrif rasmi kerana dikeluarkan oleh jabatan kerajaan yang menguruskan hal ehwal penerangan.

Malang juga kerana satu lagi jenis berita palsu yang digariskan oleh Jabatan Penerangan ialah sesuatu yang “menyentuh sensitiviti keagamaan dan perkauman”.

Malaysia sebuah negara majmuk, yang rakyatnya berbilang kaum dan agama. Sensitiviti kaum dan agama itu, apa? 

Bukan tidak pernah berlaku sebelum ini, sensitiviti kaum dan agama dijadikan senjata atau hujah yang entah apa-apa, sehingga seolah-olah begitu tipis iman mereka yang kononnya beragama. Bukan tidak pernah berlaku juga takrif sensitiviti kaum dan agama itu tidak dipakai sama rata kepada semua.

Sebagai sebuah negara majmuk, sesuatu yang dianggap biasa bagi satu kelompok boleh saja jadi sensitif bagi kelompok yang lain. Lalu, akhirnya di mana?

Masa depan

Adakah ini masa depan yang menakutkan? Ya, boleh jadi. 

Tetapi, barangkali juga sudah tiada apa yang mengerikan lagi, selepas kerajaan tidak lagi semestinya dipilih oleh rakyat tetapi boleh ditentukan dalam kalangan ahli politik.

Kalau tidak menakutkan sekali pun, setidak-tidaknya ia menyedihkan. 

Sedih, kerana kita dipaksa untuk menghadapi dan menanggapi kekeliruan ini sehingga bertanya kepada diri sendiri: Eh, sampai begitu sekali? Daripada kenyataan yang tidak jelas sampailah kepada pengumuman yang tidak lengkap.

Lucu, kerana, ya, memang melucukan. 

Tetapi, kita perlu belajar menerima semua ini dengan segala kesedihan dan kelucuannya.

Ini sebuah kebiasaan baharu – sebuah tragedi, sekaligus sebuah komedi. – 12 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Baca rencana faizal tehrani kita akan fhm

    Dimuat naik 5 bulan yang lalu oleh Salehuddin Zakaria · Ulasan