POLIS dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengambil tindakan tegas ke atas portal berita yang melaporkan berita tidak tepat dan mengelirukan mengenai kenyataan kerajaan, kata menteri kanan keselamatan Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, sejak kebelakangan ini ada banyak berita yang dilaporkan secara tidak tepat terutama yang melibatkan kenyataan rasmi kerajaan.
“Kita akan ambil tindakan tegas terhadap portal berita yang melaporkan berita mengelirukan dan tidak tepat ini.
“Jadi saya berharap agar portal berita ini lebih beretika dalam melaporkan sebarang berita,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini, memaklumkan perkembangan perintah kawalan pergerakan.
Jelas Ismail, mesyuarat khas menteri mengenai Covid-19 hari ini juga memutuskan supaya polis dan SKMM mengambil tindakan tegas terhadap portal berita berkenaan.
Ismail bagaimanapun tidak menamakan portal berita yang dimaksudkan.
Beliau hanya berkata kerajaan memandang serius perkara itu kerana berita yang tidak tempat boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.
“Jangan melaporkan berita mengelirukan yang boleh menimbulkan keresahan rakyat.
“Polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa memantau kandungan berita dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata pihaknya tidak menerima laporan berhubung dakwaan ada anggota tentera dibaling dengan air kencing ketika bertugas mengawal Selangor Mansion, yang diletakkan di bawah kawalan lebih ketat.
Dakwaan itu terkandung dalam laporan Sinar Harian semalam dengan tajuk “Askar pakai helmet, elak air kencing warga asing!” yang kemudian disunting semula dan dikemas kini dengan tajuk baharu, “Askar dibaling ‘objek’ ketika bertugas”.
Panglima Angkatan Tentera Jeneral Affendi Buang juga semalam dipetik menjelaskan anggota tentera sememangnya mengikut prosedur berkawal dengan memakai topi keledar di kawasan yang diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan lebih ketat.
Katanya, mereka memakai helmet bukan untuk mengelak air kencing yang kononnya dibaling dari bangunan tinggi itu. – 11 April, 2020.
Komen