Kebenaran hanya untuk kedai gunting di zon hijau, kata Ismail Sabri


Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob mengulas mengenai operasi kedai gunting rambut yang dibenarkan semasa pelaksanaan PKP fasa ketiga. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 April, 2020.

HANYA kedai gunting di zon hijau yang bebas jangkitan Covid-19 sahaja akan dibenar beroperasi mengikut garis panduan ditetapkan, kata Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengeluarkan garis panduan tersebut untuk pengusaha beroperasi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan peringkat ketiga.

“Ini keputusan yang akan dibuat oleh MITI. Lebih-lebih lagi cadangan (untuk perusahaan ini beroperasi) di kawasan hijau sahaja.

“Bagaimanapun, butiran prosedur operasi akan dikeluarkan oleh MITI. Setakat ini kerajaan terima pandangan rakyat dan saya sebut akan teliti dan perhalusi setiap pandangan rakyat,” katanya.

Tegasnya kelulusan untuk beroperasi itu juga bukan diberikan secara automatik tetapi pengusaha perlu memohon terlebih dahulu.

“Keputusan di pihak MITI. Biarlah MITI keluarkan kenyataan akhbar mereka untuk perjelaskan,” katanya dalam sidang media disiarkan langsung.

Beliau ditanya mengenai kebimbangan pengusaha berkenaan untuk beroperasi memandangkan penularan wabak Covid-19 masih lagi serius di seluruh negara.

Setakat tengah hari semalam, ada 29 daerah yang kekal sebagai zon hijau – empat di Semenanjung Malaysia, lapan di Sabah dan 17 di Sarawak.

Empat zon hijau di semenanjung adalah Kampar di Perak, Yan di Kedah, Machang di Kelantan dan Hulu Terengganu, Terengganu.

Menteri MITI Azmin Ali pada Jumaat mengumumkan kebenaran untuk kedai gunting rambut beroperasi dengan syarat mematuhi garis panduan kesihatan dan keselamatan.

Kedai gunting rambut merupakan antara perusahaan yang dibenar beroperasi sewaktu PKP tahap tiga, termasuk sektor automotif, aeroangkasa, pembinaan dan kesihatan tradisional berdaftar.

Menurut Azmin kesemua perusahaan itu juga diwajibkan mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada kementeriannya.

Dua negeri sudahpun melarang kedai gunting beroperasi walau dibenarkan untuk berbuat demikian dalam tempoh PKP peringkat ketiga, dari 14 hingga 28 April.

Negeri Sembilan dan Pulau Pinang mengeluarkan arahan itu sementara menunggu garis panduan baharu dari Kementerian Kesihatan bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19.

Pemimpin DAP Lim Kit Siang pula menyarankan kerajaan memberi keutamaan kepada sektor sokongan dan khidmat IT untuk beroperasi disebabkan permintaan yang tinggi.  – 12 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen