Video 'rempuh' CIQ: Polis, SKMM ambil keterangan Fuziah Salleh


Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh disiasat selepas laman Facebook beliau memaparkan rakaman video yang kemudian disahkan sebagai maklumat palsu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 April, 2020.

POLIS dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil keterangan Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh berhubung penyebaran berita palsu kononnya ada rempuhan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin di Johor Bahru, minggu ini.

SKMM dalam satu kenyataan semalam berkata keterangan seorang bekas timbalan menteri, yang bagaimanapun tidak dinamakan, diambil bersama pihak polis.

Fuziah sebelum ini mengesahkan kepada The Malaysian Insight beliau sedia disiasat namun berharap bukan dirinya seorang saja yang disiasat.

“Rakaman percakapan itu dilakukan di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang jam 9 malam, Jumaat.

“Satu telefon dan kad sim turut dirampas daripada ahli Parlimen itu bagi membantu siasatan,” katanya.

The Star memetik Fuziah mengesahkan beliau sudah memberikan keterangan kepada polis dan SKMM, dan memberi komitmen membantu siasatan pihak berkuasa.

“Saya menyeru media untuk tidak membesarkan isu ini sehingga siasatan selesai,” katanya, seperti dipetik portal berita itu.

Fuziah disiasat selepas laman Facebook beliau pada lewat Khamis malam memaparkan rakaman video yang kemudian disahkan sebagai maklumat palsu.

Rakaman video itu menunjukkan kononnya rakyat Malaysia di Singapura merempuh kawalan pihak berkuasa imigresen di Tambak Johor untuk balik ke tanah air, selepas republik itu mengenakan kawalan pergerakan sejak Selasa.

Video itu bagaimanapun diturunkan beberapa jam kemudian dengan notis memohon maaf oleh pengurus akaun media sosial Fuziah yang mendakwa “tersilap” menaikkan sepotong rakaman video lama.

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata rakaman video berkenaan adalah suasana latihan kebakaran di Bangunan Sultan Iskandar, iaitu kompleks imigresen, kastam dan kuarantin di Johor Bahru, pada 18 Disember 2019.

Fuziah disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan atas penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian serta menyebabkan ketakutan awam, kata SKMM.

Siasatan dibuat atas laporan yang dibuat oleh Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir di Balai Polis Larkin. 

Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman, kata Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay.

Pada Jumaat, Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob berkata undang-undang menangani berita palsu tidak mengenal pangkat.

“Tiada siapa terkecuali dan lebih tinggi daripada undang-undang. 

“Sesiapa saja yang terlibat menyebarkan berita palsu tidak akan terlepas walau apa kedudukan mereka sekali pun,” katanya. – 12 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen