Tiada siapa terlepas tindakan kalau sebar berita palsu, kata Ismail Sabri


Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, penyebaran berita palsu adalah kesalahan serius dan undang-undang tidak mengecualikan sesiapa.– Gambar fail The Malaysian Insight, 10 April, 2020.

SESIAPA sahaja yang menyebarkan berita palsu akan dikenakan tindakan tegas tanpa kecuali kerana tindakan mereka tidak membantu usaha kerajaan menangani krisis penularan Covid-19, kata Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, penyebaran berita palsu adalah kesalahan serius dan undang-undang tidak mengecualikan sesiapa.

“Tiada siapa terkecuali dan lebih tinggi daripada undang-undang.

“Sesiapa saja yang terlibat menyebarkan berita palsu tidak akan terlepas walau apa kedudukan mereka sekali pun,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini, memaklumkan perkembangan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ismail merujuk kepada penyebaran satu rakaman video semalam kononnya rakyat Malaysia di Singapura merempuh kawalan pihak berkuasa di Tambak Johor untuk balik ke tanah air, selepas republik itu mengenakan kawalan pergerakan sejak Selasa.

Video yang tular itu disebarkan antaranya oleh seorang ahli Parlimen Pakatan Harapan di laman Facebooknya, malam tadi. Ia bagaimanapun diturunkan beberapa jam kemudian dengan notis memohon maaf “tersilap” menaikkan sepotong rakaman video lama.

Menurut Ismail, polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) sudah mengenal pasti individu terlibat, yang beliau sifatkan sebagai “tidak bertanggungjawab’.

“Pihak Jabatan Imigresen sudah menafikan dan menjelaskan bahawa rakaman video tersebut ialah suasana latihan pencegahan kebakaran oleh jabatan bomba yang sudah dilaksanakan.

“Pihak polis dan SKMM memandang serius perkara ini kerana ia menyebabkan perasaan bimbang di kalangan rakyat terutamanya di Johor Bahru,” katanya.

Awal hari ini, Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata rakaman video berkenaan adalah suasana latihan kebakaran di Bangunan Sultan Iskandar, iaitu  kompleks imigresen, kastam dan kuarantin di Johor Bahru, pada 18 Disember 2019.

“Imigresen mengambil serius perbuatan penularan video berkenaan oleh pihak yang tidak bertanggung jawab yang berniat untuk menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Ismail memaklumkan setakat semalam polis dan SKMM sudah membuka 207 kertas siasatan kes berita palsu berkaitan Covid-19.

Daripada jumlah itu, 27 kes sudah didakwa di mahkamah.

Ismail juga kesal walaupun sudah banyak tindakan diambil oleh kerajaan, masih ramai lagi orang terus menyebarkan berita palsu.

Katanya, tindakan mereka tidak membantu usaha memerangi penularan wabak itu.

“Saya menyeru, cukuplah, hentikanlah penyebaran berita palsu kerana ia tidak membantu rakyat dan kerajaan dalam menangani krisis Covid-19,” katanya. – 10 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen