Fuziah sedia disiasat sebar video ‘rempuh CIQ’ di Johor


Diyana Ibrahim

Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata kalau pihak berkuasa mahu menyiasat berita palsu, siasatan hendaklah menyeluruh dan tidak hanya memanggil dirinya seorang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 April, 2020.

AHLI Parlimen Kuantan Fuziah Salleh sedia dipanggil polis bagi membantu siasatan dakwaan menyebarkan rakaman video melalui akaun Facebooknya malam tadi, yang kemudian tular dan disahkan sebagai maklumat palsu.

Rakaman video itu menunjukkan kononnya rakyat Malaysia di Singapura merempuh kawalan pihak berkuasa imigresen di Tambak Johor untuk balik ke tanah air, selepas republik itu mengenakan kawalan pergerakan sejak Selasa.

Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata kalau pihak berkuasa mahu menyiasat berita palsu, siasatan hendaklah menyeluruh dan tidak hanya memanggil dirinya seorang.

“Saya yakin sekiranya ada siasatan ia akan jadi siasatan yang menyeluruh untuk mencari punca berita yang tersebar, dan bukan siasat saya seorang.

“Sekiranya perlu bantuan saya dalam hal di atas (penularan video) memang sepatutnya saya beri kerjasama,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Fuziah mengulas penegasan Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob bahawa tiada siapa akan terlepas daripada tindakan menyebar berita palsu kerana ia kesalahan serius.

Ismail berkata penyebaran berita palsu tidak membantu usaha kerajaan menangani krisis penularan Covid-19.

“Tiada siapa terkecuali dan lebih tinggi daripada undang-undang. 

“Sesiapa saja yang terlibat menyebarkan berita palsu tidak akan terlepas walau apa kedudukan mereka sekali pun,” kata Ismail dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Video yang dimuat naik melalui akaun Facebook milik Fuziah malam tadi bagaimanapun diturunkan beberapa jam kemudian dengan notis memohon maaf “tersilap” menaikkan sepotong rakaman video lama.

Menurut Ismail, polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) sudah mengenal pasti individu terlibat, yang beliau sifatkan sebagai “tidak bertanggungjawab”.

Mengulas mengenai hal itu, Fuziah mempertahankan tindakannya dan menolak tanggapan “tidak bertanggunjawab” seperti disebut oleh Ismail.

Jelas Fuziah, atas dasar tanggungjawab itulah pengendali laman Facebooknya telah mengeluarkan video tersebut dan membuat pernyataan maaf atas kesilapan tersebut.

“Kalau silap mohon maaf dan dan keluarkan, dan tindakan itu dilakukan cepat. 

“Tapi sebelum itu pun video tersebut dah tersebar dalam medium laman sosial lain, yang itu mereka juga harus siasat… di mana ia bermula,” katanya.

Awal hari ini, Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata rakaman video berkenaan adalah suasana latihan kebakaran di Bangunan Sultan Iskandar, iaitu kompleks imigresen, kastam dan kuarantin di Johor Bahru, pada 18 Disember 2019.

“Imigresen mengambil serius perbuatan penularan video berkenaan oleh pihak yang tidak bertanggung jawab yang berniat untuk menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat,” katanya. – 10 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • bodoh punye bekas timbalan menteri... tak de keje lain.. perangai budak budak... kalau dah perangai timbalan menteri mengalah budak.. apalagi yg sememangnya budak... bodo... bangang otak letak kat lutut..

    Dimuat naik 4 tahun yang lalu oleh Hasrin sukaimi · Ulasan