KKM sedia panggil semula pesara bantu tangani Covid-19


Ragananthini Vethasalam

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata staf perubahan dari negeri lain akan dikerah ke hospital yang sibuk dengan kes Covid-19 seperti Hospital Sungai Buloh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan akan mengagihkan semula tenaga kerja petugas kesihatan ke hospital yang mengendalikan banyak kes Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata staf perubahan dari negeri lain akan dikerah ke hospital yang sibuk dengan kes Covid-19 seperti Hospital Sungai Buloh.

Selain itu katanya, KKM juga mempertimbangkan untuk memanggil semula petugas perubatan yang sudah bersara.

“Kita sedia memanggil semula mereka yang sudah bersara seperti jururawat dan pakar, untuk kembali berkhidmat,” katanya pada sidang media.

Beliau mengulas pertanyaan sama ada Malaysia mempunyai petugas kesihatan yang cukup di barisan hadapan ketika kes Covid-19 semakin meningkat.

Semalam, Putrajaya mewartakan 409 lokasi di seluruh negara sebagai pusat stesen kuarantin Covid-19.

Ini termasuk institut pendidikan, pusat Kem Bina Negara, kolej komuniti, pusat Rela, rumah tetamu kerajaan dan lain-lain institusi.

Bagi hospital, enam kemudahan penjagaan kesihatan turut ditambah dalam senarai 26 hospital di seluruh negara untuk rawatan kes Covid-19.

Kata Dr Noor Hisham enam hospital tersebut akan mengendalikan kes rawatan Covid-19 dan kes kecemasan.

Malaysia setakat ini mencatatkan 10 kematian, 1,306 kes keseluruhan dengan peningkatan 123 kes baharu hari ini. – 22 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen