Kerajaan warta 409 stesen kuarantin pesakit Covid-19


Pengguna LRT mengambil langkah penjarakan sosial bagi membendung penularan wabak Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 21 Mac, 2020.

KERAJAAN mewartakan 409 lokasi di seluruh negara termasuk institusi yang memiliki kemudahan asrama dan pusat latihan sebagai stesen kuarantin bagi menempatkan pesakit Covid-19.

Pengisytiharan warta itu yang disiarkan hari ini menyatakan kesemua lokasi itu dijadikan stesen kuarantin mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Lokasi yang diwartakan termasuk institut pendidikan, pusat Kem Bina Negara, kolej komuniti, pusat Rela, rumah tetamu kerajaan dan lain-lain institusi.

Awal hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kementerian menjangkan peningkatan kes Covid-19 pada minggu depan.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan sudah berusaha untuk mendapatkan lebih banyak alat bantuan pernafasan atau ventilator sebagai persediaan.

Katanya 500 ventilator itu perlu disediakan di 26 hospital khas bagi kes Covid-19 di seluruh negara.

Beliau juga memberi jaminan Kementerian Kesihatan tiada masalah peruntukan tetapi untuk mendapatkan ventilator tersebut.

“Sekarang ini kita jangka kes akan bertambah dan kita perlu bersedia dengan ventilator tersebut.

“Kita masih berurusan dengan negara China untuk dapatkan ventilator tersebut,” kata Dr Noor Hisham.
 
Jelasnya Malaysia mempunyai 925 buah ventilator waktu ini namun 500 buah perlu dikhusus untuk kes Covid.

Selain itu, kementerian juga mengkhususkan 3,400 katil serta 300 ICU di 26 hospital untuk kes wabak tersebut, selain pilihan menggunakan wad isolasi.

Ketika ini, kadar penggunaan katil hospital dan ICU masing-masing 20% dan 18%.

Malaysia kini mencatat lapan kematian, 1,183 kes jangkitan Covid-19 dengan 153 kes baharu hari ini. – 21 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen