Topeng muka makin kurang sebab sekatan eksport


Bernard Saw

Topeng muka berdepan masalah kekurangan bekalan dan peningkatan harga yang menyukarkan pembekal dan pengedar di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mac, 2020.

WABAK Covid-19 bukan sahaja melonjakkan permintaan topeng muka tetapi juga meningkatkan harganya sehingga 10 kali ganda, kata sebuah syarikat pengeluar dan pembekal produk itu di Malaysia.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Safetyware Wong Kee Wei, permintaan topeng muka kini mencatat rekod tidak pernah wujud sebelum ini.

Tambahnya, situasi bertambah buruk kerana China yang merupakan pengeluar topeng muka terbesar dunia menghentikan export bagi memenuhi permintaan dalam negara sehingga menyebabkan kekurangan bekalan dalam pasaran global.

“China adalah pembekal topeng muka terbesar di dunia tetapi pengeluar topeng muka dilarang mengeksportnya bagi memenuhi tuntutan dalam negara.

“Negara pengeluar topeng muka lain seperti Taiwan juga mengambil langkah sama, menghentikan eksport topeng muka dari negara mereka,” kata Wong.

Tambahnya, jumlah pengeluar topeng muka di Malaysia tidak banyak dan ini menyukarkan lagi keadaan.

“Bekalan pengeluar topeng muka tempatan tidak cukup untuk memenuhi bekalan. Tak banyak pengeluar topeng muka di Malaysia dan jumlah keseluruhan pengeluaran rendah berbanding permintaan,” kata Wong.

Topeng muka kini jadi komoditi buruan kerana wabak Covid-19 yang melanda dunia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mac, 2020.

Jelas Wong lagi, harga topeng muka sekarang sangat jauh berbeza mengikut rantau dan pembekal tempatan berdepan kesukaran mengimport stok baharu.

“Harga antarabangsa untuk topeng tiga lapis bertambah antara 20 sehingga 40 kali ganda dan harga topeng N95 juga meningkat sebanyak lapan hingga 10 kali ganda,” katanya.

Wong menjangkakan kekurangan bekalan untuk memenuhi bekalan global akan berterusan menyebabkan harga produk itu mungkin akan terus meningkat.

“Berdasarkan keadaan semasa, sangat sukar untuk dapat bekalan daripada pengeluar topeng muka utama.

“Pembekal yang masih mampu jual pula, harga mereka sangat tinggi sehingga tak boleh untuk diimport untuk dijual di Malaysia lagi,” katanya. – 10 Mac, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen