Kualiti udara makin buruk punca jumlah pesakit naik mendadak


Alfian Z.M. Tahir Diyana Ibrahim Mastura Malak Zaim Ibrahim Desmond Davidson

Hampir seluruh negara kini bernafas dalam kualiti udara yang buruk dengan bacaan IPU melepasi tahap 200 semalam, menurut JAS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September, 2019.

KLINIK swasta di kawasan yang terjejas dengan kualiti udara buruk merekodkan peningkatan pesakit terutamanya kanak-kanak yang memerlukan rawatan asma, batuk, sakit tekak dan demam.

The Malaysian Insight melawat klinik di Lembah Klang, Pulau Pinang serta Sarawak dan keadaan dilaporkan sama di semua lokasi.

Seorang doktor berkata terdapat kenaikan 50% pesakit di dua kliniknya di Pulau Pinang manakala seorang lagi doktor di Klang berkata terdapat kenaikan 40% pesakit yang mendapatkan rawatan kerana kualiti udara tidak sihat.

Pemilik Klinik Desa Murni Dr Azhar Ahmad berkata pesakit di kliniknya di Permatang Pauh dan Sungau Dua di Pulau Pinang telah mengadu ada jangkitan kuman pada mata dan tekak serta beberapa penghidap sakit asma memerlukan nebulizer.

“Jumlah mereka yang mengambil sijil cuti sakit (MC) juga meningkat 70%,” kata doktor berusia 51 tahun itu.

Perkara yang sama juga berlaku pada doktor di Klang.

“Ada di antara mereka memerlukan nebulizer. Dalam seminggu yang lalu kami berdepan banyak kes akibat jerebu tetapi tidak perlu dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut,” kata doktor di Klang kepada The Malaysian Insight.

Klinik lain yang dikunjungi The Malaysian Insight juga melaporkan peningkatan jumlah pesakit akibat jerebu sejak kebakaran yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan.

Mereka berkata majoriti pesakit terdiri daripada pelajar sekolah yang mengalami asma atau dyspnea (kesukaran bernafas).

Ketua jururawat di sebuah klinik di Setia Alam berkata, sejak bulan lalu ramai pesakit datang untuk rawatan asma, demam, batuk dan dyspnea. Angka semakin meningkat apabila pencemaran bertambah buruk.

“Ada juga orang dewasa datang mendapatkan rawatan tetapi kebanyakan pesakit adalah pelajar sekolah,” katanya.

Kualiti udara yang semakin buruk telah memaksa lebih 1,400 sekolah di seluruh negara ditutup pada hari ini, menjejaskan lebih daripada sejuta pelajar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September, 2019.

Beliau menambah hampir setiap hari pelajar yang menghidap asma akan datang bagi mendapatkan rawatan perubatan.

“Mereka datang untuk dapatkan nebulizer. Inhaler tak cukup kuat untuk bantu mereka berdepan persekitaran yang berasap,” katanya.

Sebuah lagi klinik swasta di Shah Alam mendedahkan demam dan batuk yang tidak terkawal adalah situasi terkini di klinik berkenaan.

“Murid tadika yang paling lemah. Ada yang sakit mata akibat udara yang buruk dan mereka juga banyak minum air sejuk kerana cuaca panas serta lembap,” kata seorang jururawat di sebuah klinik di Seksyen 7, Shah Alam.

Sebuah klinik di kawasan bandar kecil di Klang menyatakan bahawa cuaca buruk telah menyumbang kepada peningkatan bilangan pesakit.

“Jumlah pesakit tak ramai kalau tak kerana keadaan yang berasap. Kanak-kanak datang sini kerana mereka demam, batuk dan asma disebabkan udara yang tidak sihat.

“Orang dewasa juga tetapi tak ramai. Kebanyakan murid sekolah,” kata sebuah klinik di Klang Utama.

Di Kuching, doktor berkata orang ramai telah menyedari akan masalah udara yang tidak sihat dan telah mengambil langkah-langkah seperti memakai topeng muka dan tinggal di dalam rumah bagi mengelakkan ditimpa penyakit.

Kualiti udara yang semakin buruk telah memaksa lebih 1,400 sekolah di seluruh negara ditutup pada hari ini, menjejaskan lebih daripada sejuta pelajar.

Sekolah di Selangor dan Kuala Lumpur akan ditutup sehingga Jumaat manakala Pulau Pinang juga mengarahkan sekolah ditutup esok. 

Presiden Persatuan Doktor Muslim Malaysia Dr Ahmad Shukri Ismail berkata keadaan itu tidak menjadi kronik untuk mendatangkan cemas.

“Keadaan ini masih terkawal. Paling penting kita berikan kepada pesakit sijil perubatan untuk mereka tinggal di rumah.

“Pemberian sijil cuti sakit sememangnya meningkat pada minggu lepas kerana kualiti udara tidak sihat semasa,” kata Dr Ahmad yang mempunyai klinik di Kuantan.

Beliau mengakui kanak-kanak di bawah usia 12 tahun paling banyak terkesan oleh kualiti udara yang kurang sihat.

Beliau juga mengatakan bahawa topeng muka nipis yang digunakan oleh orang ramai tidak berfungsi untuk menghalang asap.

Para doktor agar orang ramai menggunakan topeng muka N95 yang lebih tebal berbanding topeng muka nipis yang banyak dijual di pasaran.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September, 2019.

Sebaliknya dia menyarankan agar orang ramai menggunakan topeng muka N95 yang lebih tebal.

Doktor lain yang mempunyai klinik di Klang berkata kualiti udara yang buruk mempunyai kesan jangka pendek dan panjang kepada orang ramai.

Dalam jangka pendek beliau berkata orang ramai akan mengalami kerengsaan mata dan tekak manakala bagi mereka yang terdedah untuk tempoh lebih lama, ia boleh menyebabkan kanser.

“Dalam jangka panjang, partikel yang memasuki paru-paru boleh menyebabkan bronchitis dan asma, dan akhirnya kanser.

“Kesannya sama dengan seseorang yang merokok dan menghisap vapes,” katanya.

Ibu bapa mahu lebih banyak tindakan diambil

Beberapa ibu bapa memberitahu The Malaysian Insight bahawa mereka bimbang akan tahap kesihatan anak-anak dalam keadaan sekarang.

Mereka mahu kerajaan mengambil lebih banyak tindakan dalam memerangi masalah jerebu agar ia tidak menjadi satu acara tahunan.

Adam Saladin, 45, berkata, ini adalah kali kedua dalam tempoh tiga tahun jerebu berlaku.

“Saya harap pihak berkepentingan boleh melakukan sesuatu demi kepentingan anak-anak kita.

“Saya mengalu-alukan langkah kerajaan untuk menutup segera sekolah untuk mengelakkan anak-anak terdedah kepada pencemaran udara,” katanya.

Surirumah Linda Hassan berkata keadaan sekarang mendorongnya untuk mengambil langkah berjaga-jaga untuk anak-anaknya.

“Sebab itulah kita risau anak-anak pergi sekolah, anak-anak pula ada banyak aktiviti luar. Anak-anak perlu pakai topeng,” katanya.

Beliau berkata sebagai ibu bapa mereka perlu berhati-hati kerana tidak mampu menanggung kos rawatan tinggi di klinik. – 19 September, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen