Stok topeng muka N95 kurang di pasaran


Lee Chi Leong

Topeng N95 dijual pada harga antara RM6 hingga RM8 seunit, manakala topeng pembedahan dijual pada yang harga lebih murah iaitu antara RM2 hingga RM5.50 sekotak mengandungi 10 unit. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 18 September, 2019.

TOPENG muka N95 yang disarankan sebagai perlindungan daripada jerebu didapati sukar diperolehi di pasaran berdasarkan tinjauan di enam buah kedai di dua pusat membeli belah semalam.

Malah topeng pembedahan juga sukar didapati, meskipun pakar berkata topeng jenis tersebut tidak mampu menapis partikel jerebu, kata pembantu jualan yang ditemui The Malaysian Insight.

Pembantu jualan farmasi Watson dan Caring di pusat membeli-belah IOI City Mall serta kedai serbaneka Yubiso berkata orang ramai membeli apa sahaja jenis topeng muka yang dijual.

Topeng N95 dijual pada harga antara RM6 hingga RM8 seunit, manakala topeng pembedahan dijual pada yang harga lebih murah iaitu antara RM2 hingga RM5.50 sekotak mengandungi 10 unit.

Di pusat membeli-belah Alamanda di Putrajaya pula, stok topeng N95 di farmasi Guardian, Watson dan kedai serbaneka Mr DIY juga berkurangan.

Seorang pembantu jualan di farmasi Guardian berkata permintaan terhadap topeng muka melonjak kepada 30% sejak seminggu lalu susulan masalah jerebu rentas sempadan di negara ini semakin buruk kibat pembakaran hutan di Indonesia.

“Sepanjang minggu lalu, kita tengok ada permintaan terhadap topeng muka makin meningkat. Topeng biasa (pembedahan) kehabisan stok,” katanya.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sejak minggu lalu naik mendadak dan semakin banyak kawasan mencatatkan bacaan kualiti udara sangat tidak sihat.

Sri Aman di Sarawak semalam menjadi kawasan pertama mencatat bacaan IPU dalam kategori “bahaya” iaitu antara 300 dan 400.

Topeng muka N95 disarankan oleh pakar perubatan kerana ia dapat menapis partikel halus sebanyak 95%. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 September, 2019.

Lebih 600 buah sekolah di seluruh negara ditutup semalam kerana jerebu.

Seorang pembantu jualan di kedai serbaneka MR DIY di Alamanda berkata ada pelanggan yang membeli topeng pembedahan ekoran kesukaran mendapatkan topeng N95.

Katanya, permintaan terhadap topeng pembedahan naik mendadak sehingga ada pelanggan yang membeli sebanyak 30 kotak.

Pakar perubatan berkata topeng muka N95 adalah yang terbaik kerana dapat menapis partikel halus sebanyak 95%. Topeng jenis ini juga disarankan oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).

Berbanding topeng N95, topeng pembedahan tidak mampu menapis partikel halus.

Menurut pembantu jualan itu lagi, pelanggan sanggup berbelanja mahal untuk mendapatkan topeng N95 berikutan bacaan IPU yang kini mencecah sangat tidak sihat.

Seorang pelanggan yang ditemui berkata dia terpaksa menghabiskan masa yang lama mencari topeng N95.

“Saya pergi ke satu kedai tapi mereka cakap dah habis stok, jadi saya kena cari di kedai lain,” kata seorang wanita dari Shah Alam yang ditemui di IOI City Mall. – 18 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen