Lebih 600 buah sekolah ditutup kerana jerebu


Notis penutupan sekolah di Bangi yang diarah tutup pagi ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 17 September, 2019.

LEBIH 600 buah sekolah awam di beberapa buah negeri di Malaysia ditutup hari ini kerana jerebu yang menjejaskan 445,249 pelajar, kata Kementerian Pendidikan.

Penutupan sekolah besar-besaran meliputi hampir 7,000 buah sekolah pernah dilakukan pada 2015 disebabkan pencemaran rentas sempadan itu, ketika itu menjejaskan aktiviti empat juta pelajar.

Hari ini, 636 buah sekolah kerajaan diarah tutup, dengan Sarawak mempunyai jumlah tertinggi sebanyak 298 buah, kata kementerian dalam kenyataan dikeluarkan.

Jabatan Pendidikan Sarawak berkata ia mengarahkan 53 sekolah rendah dan 25 sekolah menengah ditutup pagi tadi, selepas mendapat arahan Kementerian Pendidikan tengah malam semalam.

Tindakan itu menjejaskan 128,291 pelajar, katanya.

Sekolah terbabit terletak di daerah Betong, Bau, Kuching, Lubok Antu, Padawan, Samarahan, Sri Aman dan Lundu.

Pagi tadi, Sri Aman menjadi kawasan pertama negara mencapai status “bahaya” apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah lebih 300.

Pada jam 3 pagi, bacaan IPU Sri Aman mencecah 300 sebelum naik kepada 367 pada jam 9 pagi.

Bacaan terkini pada jam 3 petang tadi mencatatkan IPU 386.

Laman sesawang IPU Jabatan Alam Sekitar (JAS) Malaysia turut melaporkan terdapat partikel halus 2.5 mikrometer (PM 2.5) dalam udara di Sri Aman, yang dianggap berbahaya kepada kesihatan manusia.

Manakala, di Selangor pula, 201 sekolah diarah tutup hari ini melibatkan daerah Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Petaling.

Pada mulanya, hanya 151 sekolah di daerah terbabit diarah tutup pada jam 11 pagi, tetapi 50 buah sekolah lagi di Sepang dan Hulu Langat diarah henti operasi susulan bacaan IPU Banting yang berhampiran Sepang mencatat bacaan 183 pada jam 3 petang.

Ia menjejaskan 240,447 pelajar di Selangor.

25 buah sekolah lagi ditutup di Putrajaya yang mencatat bacaan IPU 182 pada jam 3 petang tadi.

Di Negeri Sembilan pula, 112 sekolah turut diarah tutup, naik berbanding 63 buah pagi tadi.

Sekolah di Johor yang ditutup pada Ahad dibuka semula hari ini. Kawasan dengan bacaan IPU terburuk pada jam 3 petang di negeri itu ialah Segamat, 153. Bacaan di kawasan lain pula terletak dalam situasi tidak sihat sehingga sederhana.

Bacaan IPU dibahagikan kepada lima kategori; 0-50 (baik), 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas dianggap berbahaya.

Dua belas sekolah swasta di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Cyberjaya dan Negeri Sembilan juga ditutup hari ini, menjejaskan lebih 7,000 pelajar. – 17 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen