2,300 pegawai periksa harga topeng muka setiap hari


Ragananthini Vethasalam

Seramai 2,300 pegawai penguatkuasa melakukan pemeriksaan harga topeng muka yang dijual ketika permintaan meningkat berikutan wabak koronavirus. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Februari, 2020.

PUTRAJAYA menugaskan 2,300 pegawai penguatkuasa untuk melakukan pemeriksaan harga topeng muka yang dijual ketika permintaan meningkat berikutan wabak koronavirus.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail memberitahu The Malaysian Insight beberapa pegawai telah mengeluarkan kompaun kepada peniaga yang menaikkan harga topeng muka.

“Apabila mereka menjual dengan harga lebih tinggi daripada harga terkawal, kami ambil tindakan segera,” kata Saifuddin kepada The Malaysian Insight.

Beliau menambah bahawa melalui pemeriksaan harian ini juga kementerian dapat menerima maklum balas mengenai bekalan topeng muka.

Sembilan premis baru-baru ini diberikan kompaun berjumlah RM21,700 kerana menaikkan harga topeng muka di tengah penularan wabak novel koronavirus.

Harga sekotak topeng muka N95 telah ditetapkan pada harga borong maksimum RM100 bagi setiap kotak sementara harga runcitnya RM6.

Sekotak topeng muka satu lapisan (bergelung telinga) ditetapkan pada harga borong maksimum RM5 atau harga runcit RM7.

Bagi topeng muka dua lapisan, harga borong maksimum adalah RM8 setiap kotak manakala harga runcit RM10 bagi satu kotak atau 20 sen sekeping.

Sekeping topeng muka tiga lapis adalah 80 sen sekeping.

Putrajaya juga turut berhubung dengan pengeluar topeng muka bagi meningkatkan pengeluaran demi memastikan terdapat bekalan yang mencukupi.

Ini dapat melihat apabila 400,000 topeng muka dihasilkan setiap hari jika semua pengeluar meningkatkan pengeluaran.

Malaysia semalam mencatatkan jangkitan koronavirus ke-16 berikutan wabak di Wuhan, China sejak enam minggu lalu.

Sehingga kini, angka kematian adalah lebih daripada 720 di China. Ia juga menjangkiti lebih daripada 34,400 orang di 27 negara.

Malaysia semalam mencatatkan kes jangkitan ke-16, iaitu seorang wanita berusia 60 tahun dari Wuhan, yang bercuti di Johor Bahru.

Negara ini juga telah mendaftarkan kes jangkitan warga tempatan pertamanya, seorang wanita berusia 40 tahun yang dijangkiti virus itu daripada saudaranya di Selangor. – 11 Februari, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen