Utusan Malaysia dijangka terbit semula April


SM Amin

Sebanyak 70% kepentingan Kumpulan Utusan dalam anak syarikat, Dilof Sdn Bhd seterusnya dijual kepada satu syarikat dikaitkan dengan jutawatan Syed Mokhtar Albukhary, Aurora Mulia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Januari, 2020.

AKHBAR Utusan Malaysia dijangka akan diterbitkan semula pada April, lebih 100 hari selepas syarikat asal pemegang permit penerbitannya menamatkan operasi,

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, ia akan diterbitkan selepas beberapa orang bekas pengarang Utusan kembali bertugas dengan syarikat baharu untuk menyusun operasinya.

Sumber yang merupakan bekas pegawai pengurusan tertinggi akhbar itu berkata pengarang berkenaan dijangka akan mula bertugas pada bulan depan dalam persekitaran baharu dan pasukan lebih kecil.

“Bulan Februari ini beberapa bekas editor akan dipanggil untuk membina operasi baharu, termasuk pengambilan staf. Pasukan tidak seramai dahulu, jadi cara kerja pun kena berubah.

“Jika semua berjalan berjalan lancar, surat khabar pertama akan terbit April ini,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Satu lagi sumber berkata, syarikat akan mengutamakan peluang kerja itu untuk diisi bekas pekerja Utusan dan akan membuka sebahagian lagi kepada umum.

Bagaimanapun, belum ada apa-apa penawaran dibuat kepada mana-mana pemohon setakat ini, katanya.

“Jumlah yang kita ambil pun tidak ramai. Angka sebenar kita belum kenal pasti lagi tetapi mungkin sekitar 100 orang,” kata sumber yang merupakan seorang pengarang.

Ratusan bekas kakitangan Utusan termasuk yang menerima skim pemisahan sukar itu masih menunggu syarikat tersebut melunaskan bayaran gaji tertunggak dan bayaran lain.

Cakap-cakap mengenai usaha menerbitkan semula Utusan itu mula berlegar minggu ini apabila muncul iklan jawatan kosong oleh syarikat pemegang pemegang permit penerbitannya, Media Mulia.

Iklan di media sosial itu menawarkan peluang kerja untuk pengarang berita, penolong pengarang berita, wartawan, pelukis kreatif dan jurufoto.

Syarikat asal pemegang permit penerbitan Utusan, Kumpulan Utusan pada 9 Oktober memutuskan untuk menghentikan operasi selepas meluluskan cadangan penggulungan syarikat secara sukarela.

Pengerusi eksekutifnya Abd Aziz Sheikh Fadzir ketika itu berkata langkah tersebut terpaksa diambil kerana lembaga pengarah berpendapat bahawa syarikat tidak lagi mampu meneruskan perniagaan.

Sebanyak 70% kepentingan Kumpulan Utusan dalam anak syarikat, Dilof Sdn Bhd seterusnya dijual kepada satu syarikat dikaitkan dengan jutawatan Syed Mokhtar Albukhary, Aurora Mulia.

Aurora Mulia kemudian ditukar nama menjadi Media Mulia Sdn Bhd yang turut memegang permit penerbitan Utusan.  – 27 Januari, 2020. 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen