Utusan gulung syarikat selamatkan akhbar


The Malaysian Insight

Utusan Melayu (Malaysia) Berhad menggulung syarikat awal minggu ini untuk menyelamatkan akhbar Utusan Malaysia agar terus kekal menjadi suara rakyat terutama orang Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2019.

UTUSAN Melayu Malaysia Berhad menggulung syarikat awal minggu ini untuk menyelamatkan akhbar Utusan Malaysia, yang sejarahnya bermula lapan dekad lalu, agar terus kekal menjadi suara rakyat terutama orang Melayu, kata sumber.

Pengurusan Utusan memikirkan daripada kehilangan akhbar yang sudah memainkan peranan penting dalam sejarah awal nasionalisme dan intelektual di Tanah Melayu, tidak mengapalah kalau terpaksa mengorbankan syarikat.

Bagi mereka, lebih mudah menguruskan akhbar yang boleh disusun semula berbanding menyelamatkan perniagaan yang menanggung kerugian RM4 juta setiap bulan, dari bulan ke bulan.

“Yang penting, cita-cita (pengasasnya) Yusof Ishak dapat diteruskan supaya ada sebuah akhbar yang peduli nasib rakyat, yang memastikan pemerintahan negara sesuai dengan cita-cita rakyat,” kata sumber yang enggan dinamakan, yang maklum dengan perkembangan di Utusan.

Dalam lidah pengarang sulungnya pada 29 Mei 1939, Utusan Melayu menegaskan ia “pertama, berkhidmat kepada bangsa, kedua, berkhidmat kepada agama dan ketiga, berkhidmatan kepada watan”.

Utusan Melayu, yang mula-mula terbit dalam tulisan Jawi, bertanggungjawab mencetuskan pemikiran awal yang membawa kepada kesatuan Melayu sehingga tertubuhnya Umno untuk menentang Malayan Union pada 1946.

The Malaysian Insight difahamkan itulah juga mesej Pengerusi Eksekutif Utusan Abd Aziz Sheikh Fadzir ketika menjelaskan “Utusan tidak tutup”, sehari selepas piket kakitangan menuntut gaji tertunggak pada Ogos lalu.

Dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia hujung minggu berikutnya, Aziz dipetik berkata Utusan akan terus jadi akhbar “yang memperjuangkan Bahasa Melayu, hak orang Melayu dan rakyat Malaysia amnya berlandaskan Perlembagaan.”

Semalam, Aziz dipetik berkata Utusan Malaysia, akhbar berbahasa Melayu paling tua di negara ini, akan diteruskan oleh pemiliknya yang baharu iaitu Aurora Mulia Sdn Bhd.

“Mereka akan melancarkannya semula tidak lama lagi,” katanya, seperti dipetik portal berita ekonomi The Edge Markets.

Pengerusi Eksekutif Utusan Abd Aziz Sheikh Fadzir semalam berkata Utusan Malaysia akan diteruskan oleh pemiliknya yang baharu iaitu Aurora Mulia Sdn Bhd. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2019.

Katanya, syarikat baharu itu juga akan menentukan sama ada akan mengambil kesemua lebih 800 kakitangan Utusan yang hilang pekerjaan.

Syarikat itu juga akan melantik seorang ketua pengarang baharu Utusan iaitu wartawan kanan yang pernah berkhidmat di akhbar berbahasa Melayu bukan Utusan dan pernah bertugas di beberapa syarikat berkaitan kerajaan, kata dua sumber.

Semalam, Utusan mengumumkan menggulung syarikat dan melantik UHY Advisory (KL) Sdn Bhd sebagai pelikuidasi interim, untuk proses menguruskan harta dan liabiliti syarikat dengan pemiutang.

Ia juga menghentikan operasi berkuat kuasa semalam sementara lebih 800 kakitangannya bercuti sehingga akhir perkhidmatan pada 31 Oktober ini.

Keputusan penggulungan itu diluluskan oleh lembaga pengarah Utusan pada Isnin lepas, 7 Oktober. 

Pada hari yang sama, mereka juga mengumumkan Dilof Sdn Bhd, anak syarikat Utusan yang memegang permit penerbitan Utusan Malaysia dan Kosmo, dikuasai 70% oleh Aurora Mulia.

Berikutan pengambilalihan itu, nama Dilof pada hari sama ditukar kepada Media Mulia Sdn Bhd.

Bagi pengurusan Utusan, lebih mudah menguruskan akhbar yang boleh disusun semula berbanding menyelamatkan perniagaan yang menanggung kerugian RM4 juta setiap bulan, dari bulan ke bulan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Oktober, 2019.

Sumber di Putrajaya memberitahu The Malaysian Insight, Dilof – atau kini Media Mulia – mula memegang permit penerbitan Utusan Malaysia dan Kosmo sejak awal September.

Dilof asalnya milik Aziz yang ditubuhkan pada 23 Ogos 2018, sebelum diambil alih oleh Utusan pada 26 Ogos lalu, empat hari sebelum Utusan dinyah senarai dari Bursa Malaysia..

The Malaysian Insight difahamkan Dilof boleh memegang permit itu selepas Utusan menyerahkannya semula kepada kerajaan pada awal Ogos, dengan alasan ia sebahagian daripada proses penstrukturan kewangannya.

“Tidak ada istilah pindah milik permit,” kata sumber di Putrajaya.

Sementara itu, sumber di Utusan mengesahkan kepada The Malaysian Insight, hampir semua langkah perniagaan syarikat yang diumumkan minggu ini  sudah difikirkan oleh pihak pengurusan sejak beberapa bulan lepas.

“Cuma selepas piket kakitangan (pada 19 Ogos) dan selepas melihat ada pembaca dan pihak yang menyokong Utusan, barulah beberapa langkah itu mula dilaksanakan,” katanya.

Sehari selepas piket, Aziz mengumumkan Utusan tidak akan ditutup manakala akhbarnya terus terbit tetapi dinaikkan harga 50 sen, yang diharapkan akan menambah pulangan syarikat.

Aziz juga menyeru orang ramai membantu syarikat dengan membeli ruang iklan di Utusan, cetak atau digital.

“Tetapi malangnya iklan jadi berkurangan. Untung yang naik sedikit masih rugi kerana pendapatan iklan juga tidak bertambah,” kata sumber. – 10 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen