Aurora Mulia kuasai syarikat penerbit akhbar Utusan


Utusan Melayu akan melepaskan pegangan besar dalam Dilof bagi memastikan akhbar miliknya terus dapat menjalankan operasi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2019.

AURORA Mulia Sdn Bhd, syarikat yang dikaitkan dengan taikun Syed Mokhtar Albukhari, akan meluaskan pegangan dalam media di Malaysia apabila bakal membeli 70% pegangan dalam anak syarikat Kumpulan Utusan Melayu Berhad, Dilof Sdn Bhd.

Pembelian itu dibuat hanya beberapa minggu selepas Aurora Mulia dilapor meningkatkan pegangan kepada 31.2% dalam Media Prima Sdn Bhd, pesaing Utusan dalam media berbahasa Melayu.

Dilof sejak 11 September lalu adalah penerbit akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo serta edisi Ahadnya, Mingguan Malaysia dan Kosmo Ahad.

Utusan Melayu akan melepaskan pegangan besar dalam Dilof bagi memastikan akhbar miliknya terus dapat menjalankan operasi, lapor Utusan Malaysia.

“Ini untuk memastikan Utusan yang berusia 80 tahun tidak dikuburkan dan akhbar Kosmo yang berusia 15 tahun dapat diteruskan,” lapor Utusan, memetik kenyataan syarikatnya.

“Utusan kini berhadapan dengan masalah aliran tunai dan pelaburan dalam Dilof ini akan membolehkan suntikan kewangan daripada Aurora Mulia dan seterusnya memastikan penerbitan kedua-dua akhbar ini dapat diteruskan.”

Dilof merupakan anak syarikat 100% milik Utusan yang kini memegang permit menerbitkan dua akhbar berbahasa Melayu berpengaruh iaitu Utusan Malaysia dan Kosmo.

Sumber di Kementerian Dalam Negeri sebelum ini memberitahu The Malaysian Insight perubahan pegangan permit itu berlaku sekitar awal bulan lepas.

“Pelaburan ini juga bakal menyaksikan penggabungan jabatan-jabatan sokongan kepada penerbitan beberapa jenama akhbar utama di negara ini seperti percetakan, pengedaran dan pengiklanan,” lapor Utusan.

Dilof ialah anak syarikat milik pengerusi Utusan Abdul Aziz Sheikh Fadzir yang ditubuhkan pada 23 Ogos 2018, sebelum diambil alih oleh Utusan Melayu pada 26 Ogos lalu.

Utusan Melayu juga pada tarikh itu mengambil alih Utusan Digital Sdn Bhd menjadi anak syarikatnya.

Dua pengambilalihan itu dibuat empat hari sebelum Utusan dikeluarkan dari senarai di Bursa Malaysia.

Laporan terakhir menyebut Utusan dimiliki oleh Abd Aziz sebagai pemegang saham majoriti melalui syarikatnya Opulence Asia Sdn Bhd. Bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru itu membeli pegangan saham Umno sebanyak 31.6% pada Februari lalu.

Pada Julai pula, tokoh perniagaan Syed Mokhtar Albukhary meningkatkan pegangan ekuitinya kepada 19.72% menjadikan beliau pemegang saham kedua terbesar melalui Nilam Setar Sdn Bhd, diikuti Umno yang masih memegang 18.1%.

Utusan berdepan masalah kewangan teruk sejak beberapa tahun lalu, yang semakin parah selepas Umno hilang kerajaan selepas pilihan raya umum lebih setahun lalu.

Utusan kemudian membuat beberapa langkah menguruskan kewangannya termasuk menjual aset dan mengurangkan kakitangan untuk mengecilkan operasi.

Sejak melaksanakan skim pemberhentian sukarela (VSS) ke atas hampir 800 kakitangan pada November tahun lalu, Utusan sehingga ini masih gagal membayar pampasan yang dipersetujui secara bulanan mengikut jadual.

Utusan juga gagal membayar gaji penuh kakitangannya yang tertunggak sejak Julai lalu. – 7 Oktober, 2019


 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen