Survival akhbar dan televisyen


Zainal Rashid Ahmad

RAMAI yang bertanya: “Kenapa Utusan Melayu (UM) gulung tikar dan kenapa Media Prima Berhad (MPB) perlu menamatkan khidmat lebih 1 ribu pekerja hujung tahun ini?”

Pertanyaan begini disusuli dengan soalan lebih kritis: “Apakah orang sudah tidak membaca akhbar? Apakah TV kini bisnes waktu senja (sunset)?”

Tidak mungkin menjawab semudah “ya atau tidak”. Bisnes media massa dipengaruhi persekitaran industrinya yang komplikated.

Akhbar memang kehilangan pembaca sejak sedekad lalu. Isu ini sudah dijelaskan dalam artikel minggu lalu.

Apakah semua akhbar akan mengalami nasib seperti UM? Jawapannya juga tidak semudah “ya atau tidak”.

Bisnes media massa dipacu dua elemen utama. Pertama, pendapatan iklannya dijana berdasarkan jumlah edaran. Kedua, selain edaran, demografi ekonomi pembaca mempengaruhi potensi pengiklanan.

(Memandangkan pembaca akhbar Melayu dikelaskan sebagai pendapatan rendah dan menengah rendah, fokus iklannya lebih mengecil berbanding akhbar Inggeris dan Cina.)

Apabila edaran akhbar berbahasa Melayu jatuh merudum sekitar 50% dalam tempoh 24 bulan (Januari 2017 hingga Disember 2018), ia memberi impak tambahan terhadap pendapatan iklan.

Secara ratio pada 2018, kajian Adex (kaedah penilaian pendapatan iklan) menjangkakan, tiga segmen utama iaitu akhbar, TV dan platform digital akan berkongsi purata sekitar 20% ke 25% pendapatan iklan.

(Baki 23% iklan dikuasai radio (10%), papan tanda (8%), pawagam (3%) dan majalah (2%).

Namun, untuk pertama kali pada tahun lalu, pendapatan iklan digital mengatasi purata pendapatan TV dan akhbar.

Migrasi iklan ke platform digital antara faktor utama krisis bisnes media konvensional. Kemunculan platform atas talian menyebabkan pendapatan akhbar dan TV merudum. Malah, sangat pantas tahun ke tahun.

Pada 2010, pengiklanan digital hanya menguasai 11% Adex media massa. Tujuh tahun kemudian, (2017) angka kawalannya mencapai 23%.

Pada 2018, penguasaan Adex digital meningkat lebih 150% (bagi tempoh lapan tahun) dan mencapai 28% kawalan iklan. Ini kali pertama dalam sejarah pengiklanan, platform digital berada di rantaian paling atas.

Tahun ini, Adex digital dijangka mampu melepasi paras kawalan 30%.

Tahukah anda berapa total aliran Adex?

Total Adex bagi 2018 ialah RM4.5 bilion. Ertinya, 1% bernilai RM45 juta. Apabila Adex akhbar menurun 4% daripada 29% kepada 25%, industri itu kehilangan RM180 juta nilai pengiklanan tahunan.

Angka ini memberi impak besar kepada industri akhbar.

Apabila Adex TV turut mengalami kemerosotan 1% (RM45 juta) pada tahun sama, kesannya menyebabkan konglomerat media seperti MPB berdepan kerugian berganda.

(Sebagai rekod, total Adex TV ialah 22%. Namun, 9% dikuasai stesen berbayar. Baki 13% atau hanya RM585 juta nilai iklan direbut sembilan saluran TV percuma.)

Apabila iklan akhbar dan TV percuma menyusut, MPB mengalami krisis pendapatan yang teruk dua tahun lalu. Pada 2017, konglomerat media ini mengalami kerugian RM669 juta.

Angka ini melonjak 1,000% berbanding kerugian RM69 juta pada 2016.

Ketika petunjuk pendapatan iklan memberikan indikasi wujud kerugian berganda, MPB terpaksa melaksanakan langkah menyusun semula operasi bisnesnya.

Krisis pendapatan punca utama tindakan MPB mengambil langkah mengurangkan pekerja.

Ekonomi menguncup, iklan menyusut

Secara purata, Adex 2018 menjangkakan tiga industri utama media massa akan memperolehi purata iklan sekitar RM1 bilion hingga RM1.25 bilion.

Namun, realitinya - Adex akhbar dan TV terus menyusut pada 2017 dan 2018. Kesannya, media konvensional berdepan krisis aliran tunai dan kejutan pendapatan tahunan.

Berdasarkan persekitaran ekonomi semasa, total Adex dijangka terus mengempis tahun ke tahun. Mustahil tahun ini angkanya mampu mencapai RM4.5 bilion.

Untuk rekod, Adex 2017 ialah RM4.59 bilion. Angka itu menyusut RM110 juta pada 2018 kepada RM4.48 bilion.

Bagi pemerhati industri, Adex 2019 dijangka menyusut di bawah RM4.2 bilion.

Aturannya mudah. Apabila daya beli pengguna melemah akibat kelembapan ekonomi, pemilik jenama secara relatifnya akan menjauhi bajet pembelanjaan iklan.

Apabila total ringgit dalam Adex terus menyusut, ditambah pula peratusan perolehan segmen digital kekal meningkat, ia menyebabkan industri akhbar dan TV mengalami kesan tumbukan berganda.

Memahami krisis UM

Krisis kemerosotan edaran dan penguncupan pendapatan iklan, dilema utama industri akhbar arus perdana sejak sedekad lalu.

Kos operasi yang tinggi punca utama UM melaksanakan VSS pada November 2018. Beban operasi RM8 juta sebulan menjerumuskan daya saing kewangan syarikat berusia 80 tahun itu.

Krisis jatuhnya edaran akhbar bukan saja melemahkan pendapatan iklan, tetapi meningkatnya kos cetakan kerana angkanya makin mengecil.

Secara purata, kos akhbar Utusan Malaysia ialah RM2 senaskhah. Namun, dijual pada harga RM1.50 sen. Manakala, kos akhbar Kosmo RM1.90 sen dan dijual RM1.

Apabila angka cetakan menjunam 50%, kesannya kos cetakan melambung tinggi. Ini komplikasi tambahan bagi UM dalam menangani beban operasi RM8 juta sebulan.

Bagi memgimbangi kos operasi bulanan, beban meraih pendapatan bergantung pada iklan.

Ingat! Adex memiliki logik peraturannya. Apabila edaran akhbar merosot, pendapatan iklan pasti menerima impak. Secara purata, pendapatan iklan UM pada 2018 hanya sekitar RM2.5 juta sebulan.

Kegagalan sasaran iklan menyebabkan wujud lompong kerugian besar setiap bulan. Ini punca utama yang menyeret bisnes UM menuju jalan gelap.

Masalah aliran tunai UM bukan isu baharu. Krisis solven bermula sejak tujuh tahun lalu. UM menanggung kerugian terkumpul hampir RM400 juta bagi tahun kewangan 2012 hingga 2018.

UM rugi RM16 juta pada 2012, RM20 juta (2013), RM84 juta (2014), RM16 juta (2015), RM66.7 juta (2016), RM7.5 juta (2017) dan RM187 juta (2018).

Sebelum pakej VSS ditawarkan kepada 700 pekerja pada November 2018, UM sudah menanggung beban hutang sekitar RM260 juta.

Pemilihan mengumumkan penggulungan sukarela (gulung tikar) pada 9 Oktober lalu, bukan satu kejutan. Sumber menyebut, ketika UM gulung tikar, hutangnya mencecah RM400 juta.

Malah, pemerhati industri pada Jun 2018 sudah menyimpulkan: “Hanya ‘white knight’ yang mampu menyelamatkan UM.”

Media konvensional diambang krisis

Krisis bisnes media konvensional kini melanda semua pemain utamanya. Konglomerat segagah MPB memikul beban lebih berat untuk melaksanakan pelan rasionalisasi korporatnya.

Bisnes utamanya bergantung pada empat saluran TV dan tiga akhbar arus perdana (selain empat saluran radio).

Apabila Adex iklan TV dan akhbar terus menyusut, MPB menanggung kerugian dalam dua perniagaan terasnya.

Secara angka ringgit pula, kek Adex bagi media konvensional akan terus menyusut. Trend ini dijangka berterusan pada tahun-tahun mendatang.

Faktor peralihan tabiat pengguna dan strategi pengiklanan platform digital yang lebih kompetitif satu ancaman utama. Adex media konvensional akan terus kehilangan ratusan juta ringgit setahun.

Realiti ini perlu diakui. Migrasi iklan ke platform digital satu trend global. Empayar digital telah dan akan terus meluaskan kawalan Adex tahun ke tahun.

Lebih menakutkan, walaupun media konvensional berusaha mengukuhkan segmen digitalnya, pengiklan cenderung menyokong platform digital global.

Google, Facebook dan YouTube menguasai Adex digital kerana caj iklannya yang murah. Selain memiliki bank data pengguna dan rangkaian trafiknya yang strategik.

Ketika media massa tempatan menawarkan caj 70 sen per paparan iklan, Google menawarkan pakej semurah 20 sen.

Hari ini, di YouTube – melalui konsep pembelian debit – caj paparan iklannya semurah 2.5 sen per siaran.

Sekali pun media konvesional berbelanja besar menyediakan platform digitalnya, amat sukar mendepani raksasa global.

Trio Facebook, Google dan YouTube sudah lama menyedut kek Adex digital tempatan yang bernilai lebih RM1.5 bilion.

Menyedari cabaran ini, media konvensional terus berdepan tekanan melakukan perubahan ekstrem.

Sekiranya sekadar bertahan, pasti menerima nasib UM dan gulung tikar. Pilihan lain yang ada ialah bertindak drastik menyusun semula kos operasi dan struktur korporat. Antaranya mengecilkan kos sumber manusia.

Ini jawapan bisnes. Walaupun wujud persepsi tipikal mengaitkan politik naungan dan editorial kepartian sebagai punca krisis media konvensional.

Politik akan datang dan pergi. Media massa tetap kekal sebagai organisasi bisnes yang terdedah pada untung rugi.

Di seluruh dunia, media konvensional berdepan krisis ‘hujung nyawa’ sejak sedekad lalu. Puluhan jenama akhbar dan stesen TV kini tinggal sejarah cuma. – 10 November, 2019. 

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen