Menanti detik matinya akhbar, berita TV


Zainal Rashid Ahmad

Penutupan Utusan Malaysia adalah sejarah hitam dalam industri media negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 November, 2019.

DOMINASI media massa terutama akhbar sebagai broker maklumat kini menuju penghujung waktu.

Tidak perlu apologetik. Ini hakikat berdasarkan realiti kemerosotan edaran akhbar sejak lebih sedekad lalu. Akhbar cetak menuju zaman gelap.

Apa pun, fakta merosotnya tontonan berita TV juga satu realiti serius. Kehilangan hampir tiga juta penonton berita perdana di semua saluran utama dalam tempoh enam tahun, satu petunjuk negatif.

Pada 2013, keseluruhan tontonan berita perdana jam 8 malam, mencecah rating 6 juta. Kini angka itu menyusut lebih 50%.

Saluran berita perdana nombor satu kini, hanya memiliki purata tontonan 1.8 juta. Merosot hampir 50% berbanding 3.5 juta tontonan, enam tahun lalu.

Tanpa pembaharuan kandungan, bilik berita TV juga berdepan ancaman ditinggalkan penonton pada waktu perdana.

Nilai komersil siaran jam 8 malam, sekiranya gagal memberikan rating dan pulangan nilai iklan yang setimpal, boleh mengubah nasib siaran berita perdana.

Istilah siaran berita sebagai tanggungjawab sosial, tidak selamanya kekal relevan. Krisis kewangan dan sikap rejim pengurusan kontemporari yang berasaskan realiti komersil, mampu mengubah trend penjadualan konvensional.

Bagi saluran berita 24 jam pula, implikasi penguasaan syer tontonan yang statik, satu titik serius yang memerlukan pembaharuan drastik.

Sekiranya rating kekal tepu, akauntan media akan mempertikaikannya. Akhirnya, ringgit dan sen dijadikan ukuran.

Pada masa ini, saluran berita 24 jam menguasai kurang 1% syer tontonan. Angka statik sejak sedekad lalu.

Berdasarkan kos operasi yang tinggi, saluran berita berdepan cabaran dan tuntutan komersil yang mahukan keuntungan.

Paling tidak pendapatan saluran perlu seimbang dengan kos operasi. Pada satu tahap, beban bisnes akan mendesak kita semua melihat realiti. Atau kuasa rejim akauntan akan memberikan jawapan rigid: elok ditutup kalau kerugian berterusan.

Krisis kemeruduman edaran akhbar dan rating berita TV sering dikaitkan dengan migrasi pengguna ke platform digital.

Apakah itu benar? Atau sekadar alasan klise tanpa memahami hakikat: berita konvesional hilang pengaruh kerana dilihat sebagai rejim mandatori. Editorialnya dianggap doktrinisasi kewartawanan gaya lama.

Merudumnya edaran akhbar

Pertama, kita awasi dulu realiti kemeruduman edaran akhbar dalam tempoh 15 tahun.

Menurut laporan Audit Bureau of Circulations (ABC), edaran akhbar Utusan Malaysia merudum 21% dalam tempoh 2005 hingga 2009.

Secara kiraan naskhah, akhbar itu mengalami kejatuhan purata 44 ribu edaran sehari. Tempoh ini dibandingkan dengan data ABC: 213,000 (purata edaran 2005) kepada 169,000 (purata edaran 2009).

Utusan Malaysia antara akhbar arus perdana Melayu yang pernah mencapai edaran harian 350 ribu naskhah. Manakala Mingguan Malaysia pernah mencapai 600 ribu naskhah pada pertengahan dekad 90-an.

Pro politik atau neutral edaran tetap menjunam

Hari ini, akhbar arus perdana sama ada muatan pro politik atau bersikap neutral, angka edaran tetap menjunam.

Akhbar arus perdana seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan Sinar Harian kini mengalami krisis edaran yang kritikal di bawah paras 50 ribu naskhah sehari. Terbitan mingguan pula di bawah 100 ribu.

Manakala akhbar popular seperti Kosmo dan Harian Metro berdepan naik turun edaran harian sekitar 100 ribu.

Sedekad yang lalu, purata edaran harian kedua-dua akhbar popular itu melepasi 250 ribu.

Kejatuhan media cetak berterusan

Pada Januari 2017 walaupun trend kemerosotan akhbar cetak makin merudum, Kosmo kekal sebagai akhbar Melayu nombor satu.

ABC mengesahkan, akhbar kompak itu mencapai purata edaran harian bersih 155,996 naskhah.

Data kajian itu diukur pada tempoh Julai hingga Disember 2016, menjadikan Kosmo kekal mendahului pesaingannya.

Harian Metro mencapai edaran bersih 112,705 sehari.

ABC turut melaporkan pada tempoh kajian yang sama, Utusan Malaysia merekodkan edaran harian bersih 112,050 naskhah. Angka yang jauh meninggalkan saingan Berita Harian pada purata 69,985 naskhah.

Namun, apa data bagi 2019?

Jawapannya, selepas 24 bulan, semua jumlah edaran akhbar arus perdana jatuh merudum 50% lagi.

Sehingga September lalu, edaran bersih bagi Utusan Malaysia di bawah 50 ribu naskhah. Reletifnya, tentu lebih rendah bagi edaran Berita Harian dan Sinar Harian.

Manakala Kosmo dan Harian Metro bersaing pada angka 100 ribu.

Walaupun Utusan Malaysia dicop pro Umno dan bergaya konservatif, ia punya asas edaran lebih baik.

Senario semasa mengaitkan, kejatuhan edaran Utusan Malaysia dikaitkan dengan gangguan politik. Apakah itu benar?

Hakikatnya, akhbar moderat dan neutral mengalami kejatuhan lebih teruk. Walaupun kekal ada, survival akhbar-akhbar ini ditampung pendapatan iklan TV dan radio dalam bisnes bersifat konglomerat.

Pada 2016, Media Prima Berhad (MPB) mengumumkan kerugian bersih syarikat itu RM69.78 juga. Pada tahun kewangan 2017, angkanya menjunam ke paras kerugian RM669.66 juta.

Apa puncanya MPB menanggung rugi RM600 juta dalam tempoh 12 bulan?

Selain empat rangkaian TV, kumpulan media gergasi itu memiliki New Straits Times Press (M) Berhad yang menerbitkan akhbar New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro.

Laporan tahunan 2016 konglomerat berusia 35 tahun itu mengakui, selain penurunan prestasi pengiklanan (7%), kerugian disebabkan faktor kejatuhan edaran kumpulan akhbarnya.

Krisis penyusutan edaran akhbar yang mendadak antara 2017 hingga 2019 berlaku sangat drastik. Akhbar arus perdana Melayu kehilangan 50% pembaca dalam tempoh 24 bulan.

Nasib Kumpulan Utusan lebih teruk. Syarikat media ini bergantung pada dua akhbar utamanya, Utusan Malaysia dan Kosmo.

Kumpulan Utusan yang memulakan operasi pada Mei 1939, ditutup pada 9 Oktober lalu. Operasinya mula tenat sejak mengalami kerugian terkumpul RM200 juta antara 2012 hingga 2017.

Utusan rugi RM16 juta pada tahun 2012, RM20 juta (2013), RM84 juta (2014), RM16 juta (2015) dan rugi parah RM66.7 juta (2016).

Pada 9 Oktober lalu, syarikat media tertua ini memilih penggulungan sukarela. Dalam bahasa mudah, ditutup kerana krisis aliran tunai yang teruk. Paras hutang dianggarkan melebihi RM300 juta.

Setakat ini harian berbahasa Cina, Sin Chew Jit Poh kekal sebagai akhbar terlaris dengan purata edaran 294,476 naskhah.

Akhbar berbahasa Inggeris The Star pula mencapai purata edaran 201,943 naskhah.

Kita akan terus menerima khabar buruk mengenai platform pemberitaan. Ini cabaran besar pada kewartawanan era ini.

Portal dianggap berita subsidi

Harus diingat, walaupun kewujudan portal berita berjaya mencipta pelayar hingga ada platform atas talian melangkaui 25 juta pelayar, ia tiada nilai komersil.

Walaupun memiliki pelayar unik sekitar 6 juta hingga 8 juta sebulan, platform atas talian gagal menjana pendapatan.

Pada purata pendapatan iklan sekitar RM200 ribu hingga RM400 ribu sebulan, kos operasi portal kekal membebankan.

Bagi portal berbayar, krisis langganan satu masalah besar. Berita dianggap bacaan percuma, pelayar digital enggan membayarnya! – 3 November, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen