Media lain turut berdepan masalah kurang iklan, senasib dengan Utusan


The Malaysian Insight

Segmen media tradisional berdepan masalah kurang pendapatan daripada pengiklanan dan keadaan itu dijangka berterusan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 3 September, 2019.

ANTARA punca kemerosotan penerbitan akhbar harian berbahasa Melayu Utusan Malaysia dan Kosmo ialah pengurangan pendapatan akibat perbelanjaan pengiklanan (adex) yang lemah, satu situasi yang dihadapi segmen media tradisional, kata penganalisis.

Syarikat-syarikat media disenaraikan, seperti Utusan Melayu sehinggalah ia dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada Jumaat lalu, juga menjangkakan berdepan pendapatan lebih rendah pada masa terdekat kerana pengiklan lebih memilih platform online, kata Penganalisis MIDF Research Khoo Zhen Ye.

“Segmen media tradisional seperti TV, radio dan penerbitan, yang masih membentuk sebahagian besar kepada pendapatan syarikat media (contohnya Star Media Group dan Media Prima), terus berdepan perubahan penting dalam struktur di sektor media,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tanda-tandanya sudah lama ada, apabila digital mencapai 28% tahun lalu, melepasi adex untuk televisyen buat pertama kalinya.

Walaupun syarikat media tradisional cuba untuk berubah menjadi “entiti pertama digital”, Khoo berkata perubahan itu terbukti sangat mencabar.

Syarikat media menarik pendapatan lebih rendah berbanding adex digital dalam suku pertama tahun kewangan 2019 dan Khoo menjangkakan mereka akan terus berdepan kesukaran untuk mendapatkan lebih nilai daripada carta pertumbuhan digital.

“Usaha dalam mendapatkan pendapatan tidak berasaskan adex juga belum dapat memberi sumbangan secara positif.

“Sementara itu, langkah pengurangan kos ditambah dengan pengurangan pendapatan memberi tekanan kepada rizab tunai syarikat ini,” katanya.

Sehubungan itu, Khoo berkata tiada penambahbaikan dapat dijangkakan dalam pencapaian kewangan syarikat media disenaraikan di Bursa Malaysia pada penggal terdekat.

Bagaimanapun, dalam kes Utusan, Khoo berkata kedudukan tunai bersih kumpulan itu berada dalam keadaan negatif bagi tempoh lama, berbanding kedudukan tunai bersih lebih kuat syarikat media lain yang dikaji MIDF Research.

Beliau tidak menjangkakan kumpulan media disenaraikan yang lain akan berdepan potensi dinyahsenarai dalam tempoh terdekat.

Sehingga 30 Jun, jumlah keseluruhan hutang Utusan ialah RM139.19 juta. Sahamnya dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada 30 Ogos, setahun selepas penerbit akhbar berbahasa Melayu itu dimasukkan dalam kategori 17(PN17) pada 20 Ogos, 2018.

Dagangan sahamnya digantung selepas ia gagal menyerahkan pelan penstrukturan semula kepada Bursa Malaysia mengikut tarikh akhir 19 Ogos.

Lembaga pengarahnya juga memutuskan untuk tidak merayu tindakan dinyahsenaraikan itu. – 3 September, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen