Kementerian gesa Utusan bayar penuh gaji, pampasan pekerja


Pihak pengurusan Utusan mengumumkan syarikat terpaksa gulung tikar dan lebih 800 kakitangan diberhentikan bermula akhir bulan ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2019.

KEMENTERIAN Sumber Manusia mengarahkan Utusan Melayu Malaysia Berhad melunaskan semua bayaran tertunggak kepada bekas kakitangannya yang ditamatkan perkhidmatan baru-baru ini serta mereka yang diberhentikan secara sukarela (VSS) akhir tahun lalu.

Arahan itu disampaikan oleh kementerian melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia kepada firma UHY Advisory (KL) Sdn Bhd yang dilantik sebagai pelikuidasi interim menguruskan penggulungan Utusan.

Kementerian Sumber Manusia mendedahkan arahan itu disampaikan kepada UHY Advisory pada 11 Oktober lalu, dua hari selepas pihak pengurusan Utusan mengumumkan syarikat terpaksa gulung tikar dan lebih 800 kakitangan diberhentikan bermula akhir bulan ini.

“Jabatan juga meminta pihak Utusan supaya membayar penuh bayaran VSS kepada pekerja yang terlibat dalam pemberhentian pada tahun 2018.

“(Manakala) Gaji bagi bulan September dan Oktober 2019 hendaklah dibayar sekaligus kepada semua pekerja yang masih dalam perkhidmatan pada 30 Oktober 2019,” kata kenyataan itu.

Jabatan itu juga meminta UHY Advisry memastikan semua pekerja yang terlibat menerima pampasan sewajarnya mengikut Akta Kerja 1955.

Dalam kenyataannya, Kementerian Sumber Manusia mengambil maklum keputusan yang dibuat Utusan susulan masalah kewangan yang dialami oleh syarikat sejak Mei 2018, termasuk usaha menanganinya dengan menawarkan VSS kepada separuh keseluruhan pekerja dan menjual aset syarikat.

Namun, ia menegaskan Utusan perlu juga memberi perhatian kepada kebajikan pekerja dan bekas pekerja yang mengambil VSS.

Seramai 708 pekerja terlibat dalam VSS sementara 815 masih dalam perkhidmatan sehingga 31 Oktober ini.

Menurut kementerian, 815 kakitangan itu belum menerima gaji bagi September lalu dan tidak jelas status gaji mereka untuk bulan ini.

“Keadaan ini menimbulkan beberapa isu dalam kalangan para pekerja khususnya melibatkan potongan pinjaman bank.

“Pihak pekerja yang diberhentikan akan membuat tuntutan bayaran gaji di Pejabat Tenaga Kerja Kuala Lumpur dalam masa terdekat,” kata kenyataan itu.

Kementerian Sumber Manusia juga mengajak Utusan bekerjasama dengan Pejabat Tenaga Kerja untuk menganjurkan pelbagai program membantu bekas kakitangannya mendapat peluang pekerjaan serta menguruskan kedudukan kewangan.

UHY Advisory dijadual mengadakan taklimat kepada lebih 800 kakitangan Utusan menjelaskan pemberhentian kerja mereka susulan keputusan gulung syarikat.

Pada 9 Oktober lalu, Pengerusi Eksekutif Utusan, Abd Aziz Sheikh Fadzir mengumumkan penggulungan Utusan, dua hari selepas syarikat melepaskan 70% pegangan dalam syarikat penerbit akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan taikun Syed Mokhtar Albukhary.

Syarikat itu sekarang memakai nama Media Mulia Sdn Bhd, dan memegang permit penerbitan dua akhbar itu sejak awal September lalu. – 22 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen