Dilema Kelapa Sawit


MUNGKIN kerajaan hari ini lupa bahawa ekonomi rakyat kebanyakan adalah ekonomi pertanian. Ia adalah denyut nadi dan rezeki utama rakyat biasa di luar bandar terutamanya di Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.

Isu ini bukanlah sesuatu yang boleh dipolitikkan atau dijadikan modal sementara untuk meraih laba populariti yang bermusim. Pertanian dan kelangsungannya adalah isu survival. Malah, ini adalah isu taraf hidup dan maruah diri mereka di luar bandar.

Lebih penting, kelangsungan aspek pertanian dan perladangan komoditi turut mempunyai impak yang besar dan real dalam kehidupan mereka di bandar dan ekonomi negara secara keseluruhannya. 

Ia bukan hanya tentang kesejahteraan sesetengah keluarga petani atau peneroka. Jika pekebun dan petani tidak mempunyai kuasa membeli, mana mungkin mereka akan ke kedai?

Dalam kes sawit, harga komoditi ini selalu sahaja dipolitikkan oleh ramai pihak. Jika harga naik, ada pihak yang cuba mengambil nama. Kononnya, itulah impak usaha dan kerja keras mereka. Jika harga merudum, sehinggakan ada peneroka yang terpaksa mengikat perut dengan pendapatan kurang RM300 sebulan, pihak yang tadinya sibuk bermegah-megah diam pula seribu bahasa. 

Alasan mereka mudah. Itu kesan kitaran ekonomi dunia yang perlahan, boikot dari EU dan kejatuhan permintaan dari China dan India.

Pakatan Harapan enggan faham, bahawa biar apa pun kitarannya, yang tetap rugi, dan merana, adalah rakyat kebanyakan.

Terdapat beberapa perkara yang gagal diberikan perhatian oleh Kerajaan Pakatan Harapan dalam isu sawit.

Pertama, sekalipun harga sawit kita naik sedikit, sebenarnya kerana tidak banyak hasil yang boleh dijual pada musim melawas ini ekoran ketidaktentuan cuaca, maka, pendapatan peneroka tetap menyedihkan.

Kedua, dalam jangka masa panjang, harga minyak sawit akan terus menjadi tidak menentu. Ia akan kerap turun dan naik, kerana wujudnya ketidakstabilan bekalan dengan permintaan. Perkara ini akan berterusan.

Ketiga, sikap Kerajaan mencampuri urusan dalaman India berkenaan isu Jammu dan Kashmir juga telah menimbulkan ketidaksenangan negara tersebut. Hasilnya, mereka bertindak untuk memboikot import minyak kelapa sawit dari Malaysia. Perlu diingatkan, bahawa pasaran eksport minyak sawit Malaysia ke India adalah pada 35.7%—lebih besar dari eksport ke China mahupun Pakistan digabungkan.

Jika India benar-benar serius tentang boikot ini, yang paling terkesan adalah harga minyak sawit Malaysia dan para pekebun khususnya.

Justeru, apa yang perlu dilakukan?  Saya mencadangkan beberapa perkara.

Pertama, laksanakanlah Kertas Putih yang dibentangkan di Parlimen sebelum ini dengan serius dan strategik. Ini tidak, bukan sahaja pelaksanaannya tidak digandakan, malah, bagaimanakah Kertas Putih ini akan dijayakan pun langsung tidak disentuh dalam Bajet 2020.

Kedua, memperbaiki hubungan dengan EU, India dan China. Negara-negara ini merupakan “trading partners” kita sejak dahulu. Kita membesar dan membangun bersama mereka.

Ketiga, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Industri Utama mesti bekerjasama, terutamanya dalam mencari pasaran baharu untuk sawit Malaysia.

Malaysia Baharu sepatutnya perlahan-lahan mengurangkan kebergantungan harga minyak sawit Malaysia kepada kerenah pasaran dan memberi fokus kepada penghasilan produk hiliran yang lebih bermakna dan bermutu.

Pada tahun 2016, Barisan Nasional melalui Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah menyahut baik pembangunan produk hiliran kelapa sawit seperti produk kosmetik dan sabun contohnya. Ini kerana ia mampu untuk menstabilkan harga minyak sawit negara selain mencungkil potensi keusahawanan melalui inovasi orang kampung.

Itu jugalah yang dihasratkan oleh kepimpinan Jokowi-Maaruf di Indonesia. Mereka tidak lagi mahu bergantung kepada sentimen pasaran dan perang persepsi terhadap minyak sawit, lalu menggiatkan penghasilan produk hiliran berasaskan kelapa sawit untuk tujuan perdagangan yang lebih berdaya tinggi.

Akhir sekali, pemulihan dan penambahbaikan taraf hidup peneroka Felda memerlukan satu model perniagaan yang baharu. Para peneroka dan generasi muda di Felda mesti ditemui dan didengari pandangan serta saranan mereka. Bukan sekadar dilakukan dari kerusi empuk menteri di Putrajaya.

Kita wajar bertanya dengan serius. Dalam segala kesempitan peneroka dan ketidakpedulian oleh kerajaan dalam isu ini, apakah sebenarnya tawaran Malaysia Baharu? – 18 Januari, 2020

* Onn Hafiz Ghazi adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Layang-Layang, Johor

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen