India dijangka tingkat pembelian minyak sawit Malaysia, kata timbalan menteri


Eksport minyak sawit Malaysia ke India menurun 60 peratus kepada 219,956 tan metrik pada Oktober berbanding 550,452 tan metrik pada September.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Disember, 2019.

INDIA dijangka meningkatkan pembelian minyak sawit Malaysia dalam masa terdekat walaupun eksport Malaysia ke negara itu menyusut 60 peratus Oktober lepas susulan pengenaan duti perlindungan oleh India terhadap minyak sawit proses dari Malaysia, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata kerajaan India mengenakan duti perlindungan sebanyak lima peratus selama enam bulan mulai 4 September lepas untuk melindungi dan menggalakkan industri penapisan minyak tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap import minyak sayuran.

Ini menyebabkan duti import ke atas minyak sawit proses negara meningkat kepada 50 peratus (daripada 45 peratus) dengan Indonesia turut menyaksikan kenaikan sama terhadap minyak sawitnya, katanya pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator A. Kesavadas Nair yang ingin tahu implikasi daripada langkah-langkah yang diambil India.

Shamsul berkata eksport minyak sawit Malaysia ke India menurun 60 peratus kepada 219,956 tan metrik pada Oktober berbanding 550,452 tan metrik pada September. – Bernama, 11 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen