Saya bersyukur, kata Azmin lepas peguam negara tutup kes video seks


Azmin Ali mengucapkan rasa terima kasih kepada isteri, anak-anaknya dan rakyat yang menyokongnya sejak isu video klip itu timbul. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2020.


MENTERI Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali bersyukur kerana siasatan pihak berkuasa membersihkan namanya daripada dikaitkan dengan rakaman video seks dua lelaki yang tersebar pada Jun lalu.

“Saya bersyukur kepada Allah SWT atas kemenangan kebenaran ke atas kejahatan dan saya berdoa agar tidak ada sesiapa lagi yang akan menjadi mangsa kepada kedurjanaan politik seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga mengucapkan rasa terima kasih kepada isteri, anak-anaknya dan rakyat yang menyokongnya sejak isu video klip itu timbul.

“Seperti yang saya telah tegaskan secara tuntas sejak dari awal, video fitnah ini hanyalah satu komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politik saya.

“Meskipun mereka yang berniat jahat boleh merancang dan bersekongkol, saya tidak sama sekali ragu bahawa keadilan akan menyerlah,” kata timbalan presiden PKR itu.

“Saya juga amat berterima kasih kepada sokongan yang kuat dan konsisten daripada rakan dan orang awam, saya mengucapkan terima kasih dari lubuk hati saya,” katanya lagi dalam satu kenyataan.

Awal hari ini, Peguam Negara Tommy Thomas berkata tiada pertuduhan yang akan dibuat dalam kes video seks yang mengaitkan Azmin dengan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Keputusan itu dibuat selepas pakar forensik AS “gagal” mengenal pasti individu dalam video berkenaan kerana resolusi rendah.

Azmin juga meminta semua pihak agar menghentikan politik fitnah, serangan peribadi dan caci-maki. 

“Sebaliknya, mari kita jayakan wacana yang membina dan idea bernas tentang Kemakmuran Bersama,  kesejahteraan rakyat dan pembinaan negara,” katanya.  – 9 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen