Video seks tidak jelas, tiada kes untuk didakwa, kata peguam negara


Peguam Negara Tommy Thomas berkata timbalan pendakwa raya sebulat suara mengesyorkan kepadanya bahawa tiada pertuduhan boleh dibuat berhubung dengan video berkenaan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2020.

TIADA pendakwaan jenayah akan dikenakan terhadap mana-mana pihak berhubung rakaman video seks yang dikaitkan dengan ahli politik, kata Peguam Negara Tommy Thomas, kerana siasatan pakar dalam dan luar negara tidak dapat mengenal pasti dengan muktamad identiti pelakunya.

Thomas merujuk pada rakaman yang tersebar pada Jun lalu yang dikaitkan dengan menteri kabinet Mohamed Azmin Ali.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu tiga hari selepas pihak Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) mengumumkan kertas siasatan siap dan sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

“Setelah menyemak keterangan yang telah dikumpulkan dan dikemukakan oleh PDRM kepada jabatan ini, timbalan pendakwa raya sebulat suara mengesyorkan kepada saya bahawa tiada pertuduhan boleh dibuat berhubung dengan video berkenaan.

“Saya telah menerima syor tersebut dan membuat keputusan tidak mendakwa mana-mana pihak,” katanya.

Thomas bagaimanapun berkata kes boleh dibuka semula sekiranya ada bukti baru.

Dalam kenyataannya Thomas menjelas proses siasatan yang dijalankan sehingga membawa kepada keputusannya yang diumumkan hari ini.

Katanya, video berkenaan telah dihantar kepada pakar di dalam dan di luar negara untuk menentukan ketulenan dan pengecaman pelakunya.

Pada masa sama, pihak polis juga mengambil keterangan saksi, yang semuanya disertakan dalam kertas siasatan yang diserahkan ke pejabatnya, tambah beliau.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali menafikan sekeras-kerasnya dakwaan beliau salah seorang lelaki dalam video seks yang tersebar pada Jun, 2018. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2020.

Selepas CyberSecurity Malaysia merumuskan bahawa rakaman itu tulen tetapi identiti pelakunya tidak dapat disahkan “kerana resolusi rakaman yang rendah”, pihak polis mengirimkan rakaman tersebut untuk disemak oleh pakar di Amerika Syarikat.

Laporan pakar asing itu diterima oleh PDRM pada bulan lepas, katanya.

“Laporan yang bebas ini mengesahkan dapatan Cyber Security,” kata Thomas.

Laporan itu antara lain menyebut “kegagalan untuk mengenal pasti individu-individu di dalam video tular tersebut adalah disebabkan resolusi yang rendah dan kualiti video-video dan frames video yang sedikit untuk membolehkan suspek dilihat dengan jelas.”

Selain dua laporan itu, PDRM juga menerima satu laporan analisis oleh orang perseorangan yang dibuat tanpa diminta.

“Laporan itu juga mengesahkan dapatan kedua-dua laporan yang dinyatakan diatas bahawa pengenalan identiti tidak boleh dibuat secara konklusif berdasarkan analisa pengecaman wajah,” kata peguam negara.

Rakaman seks yang menunjukkan dua lelaki berhubungan intim tersebar melalui WhatsApp pada awal pagi 11 Jun 2018.

Bekas pemimpin Pemuda PKR Santubong, Sarawak Haziq Abdullah Abdul Aziz kemudian membuat pengakuan beliaulah lelaki dalam rakaman itu dan menuduh Azmin pasangannya.

Hubungan intim itu, kata Haziq, berlaku di Sandakan, Sabah pada 11 Mei 2018, semasa kempen pilihan raya kecil kawasan parlimen itu.

Bekas pemimpin Pemuda PKR Santubong, Sarawak Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku beliau lelaki dalam video berkenaan dan mendakwa Azmin pasangannya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2020.

Azmin, yang juga timbalan presiden PKR, keras menafikan tuduhan dan menyifatkannya sebagai perancangan jahat untuk memusnahkan masa depan politiknya.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga sekurang-kurangnya dua kali menegaskan penyebaran rakaman seks itu adalah gerakan politik mahu menjatuhkan Azmin.

Penyebaran rakaman seks itu mencetuskan ketegangan dalam PKR selepas penyokong Azmin mendakwa ia didalangi oleh pemimpin parti sendiri.

Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak ditahan polis beberapa hari untuk membantu siasatan. Beliau juga merupakan setiausaha politik kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Beliau adalah antara 11 individu yang ditahan untuk membantu siasatan, termasuk Haziq sendiri. – 9 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen