Kumpulan pendidikan Cina mahu terlibat lebih aktif dengan menteri baharu


Lee Chi Leong

Sistem pendidikan Malaysia kini hilang teraju selepas menterinya meletak jawatan Rabu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Januari, 2020.

KUMPULAN pendidikan Cina mengharapkan penglibatan yang lebih aktif dengan menteri pendidikan yang baharu selain bebas pengaruh politik apabila menyentuh soal langkah dan dasar.

Mereka berkata menteri pendidikan yang baharu perlu mempunyai kaedah berbeza berbanding Dr Maszlee Malik yang meletak jawatan pada Rabu lalu.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) Tan Cheng Suan berkata Maszlee gagal untuk melibatkan diri dengan kumpulan itu sepanjang tempoh 20 bulan menerajui kementerian itu.

Katanya kepada The Malaysian Insight, beliau gagal berbuat demikian walaupun sudah berjanji untuk melakukannya.

Tan berkata menteri pendidikan baharu perlu lebih banyak berbincang dengan kumpulan pendidikan sekolah vernakular bagi mengelakkan timbul lagi isu yang berkait dengan pengenalan Jawi.

Sementara itu, Presiden Majlis Bahasa Cina Malaysia Eddie Heng Hong Chai berhadap pengganti Maszlee akan menangani isu berbangkit berdasarkan pandangan pendidikan.

“Pendidikan vernakular sering terjejas akibat politik dan kebanyakan polisi dan operasi yang dilontarkan dari pandangan mengikut kepentingan politik.

“Ini menyebabkan kelemahan dalam sistem dan dasar pendidikan,” katanya.

“Setiap menteri pendidikan baharu mahu memperkenalkan dasar dan perancangan baharu bagi memperbaharui sistem pendidikan,” katanya.

Dr Maszlee Malik meletak jawatan selepas beberapa kontroversi berkaitan dasar dan program diperkenalkannya untuk membaharui sistem pendidikan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Januari, 2020.

Heng berharap menteri baharu akan lebih terbuka dan mengambil kira prinsip Pendidikan Untuk Semua, serta menghormati kepelbagaian yang wujud dalam sistem pendidikan semasa merangka dasar pendidikan.

“Anda juga perlu rapat dengan pertubuhan pendidikan bagi mendapatkan pandangan daripada pelbagai kumpulan berhubung program dan dasar pendidikan.

“Paling penting adalah sentiasa bersedia dan mempunyai semangat yang kuat serta bertanggungjawab bagi membebaskan pendidikan dari politik serta mengembalikan pendidikan ke tempat yang sepatutnya.”

Heng berkata isu Jawi menjadi isu penting pertama yang perlu dikendalikan oleh menteri baharu selepas ia hangat diperbahaskan sejak beberapa bulan lalu.

“Menteri Pendidikan yang baharu juga perlu menilai semula dan menyelesaikan isu berkaitan Jawi dan mengembalikan keharmonian.”

Jioa Zong berkata Maszlee gagal untuk melibatkan diri dengan kumpulan itu sepanjang tempoh 20 bulan menerajui kementerian itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Januari, 2020.

Beliau juga membangkitkan isu beberapa kumpulan pro-Melayu yang mendesak kerajaan untuk menutup sekolah vernakular.

Katanya gesaan itu akan meningkatkan lagi ketegangan kerana masyarakat Cina dan India mungkin tidak gembira dengan kerajaan.

“Menteri perlu mengeluarkan kenyataan rasmi untuk menyokong dan mengiktiraf sekolah vernakular dan meminta Peguam Negara memastikan sebarang kes yang cuba mencabar status sekolah ini digugurkan.

“Pelan pembaharuan pendidikan juga perlu dilaksanakan secara efektif bagi satu-satu tempoh untuk mendapatkan hasilnya.

“Menteri baharu juga perlu menyelesaikan isu semasa yang mencetuskan ketegangan sosial dengan memulihkan semula soal pendidikan sebelum berbincang soal pembaharuan.” – 5 Januari, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen