Maszlee undur kerana kurang pengalaman, komunikasi lemah, kata penganalisis


Sheridan Mahavera

Ahli akademik berkata Dr Maszlee Malik mempunyai idea progresif yang sering dianggap asing dan terlalu ke hadapan untuk budaya politik Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Januari, 2020.

HALA tuju dan dasar Dr Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan disalah faham oleh masyarakat umum kerana beliau kurang pengalaman politik dan lemah dalam komunikasi, kata ahli akademik.

Mereka mengakui ideanya progresif, sementara sesetengahnya dianggap asing dan terlalu ke hadapan untuk budaya politik Malaysia yang, kata mereka, masih menghargai kesetiaan berbanding prestasi.

Walaupun Maszlee letak jawatan berkuat kuasa hari ini, penggantinya akan berdepan cabaran sukar yang sama untuk mengimbangi antara tuntutan rakyat berbilang kaum terhadap pendidikan.

Pengganti Maszlee bukan saja perlu menangani perbezaan itu, pada masa sama perlu juga memastikan Pakatan Harapan (PH) mengekalkan sokongan pendukung setianya – bukan Melayu – dan pengundi Melayu yang masih cuba didekatinya.

“Pendidikan adalah portfolio kementerian yang paling mencabar di Malaysia kerana pendidikan adalah satu isu yang paling berbelah bahagi,” kata ahli sains politik Dr Wong Chin Huat.

“Semua orang mahu menterinya menjalankan sesuatu yang mereka percaya betul dengan ‘keazaman politik’.

“Hampir tiada dasar atau keputusan pendidikan yang tidak kontroversi kerana dibayangi isu identiti dan kelas di Malaysia,” kata pensyarah di Sunway University itu.

“Menteri pendidikan yang baik bukan saja melakukan perkara yang betul tetapi perlu berkomunikasi dengan kaedah yang betul kepada pemegang taruh supaya beliau boleh mendapatkan suara majoriti yang di poros tengah untuk bersamanya.”

Dr Maszlee Malik berdepan dengan media yang menyerangnya bermula dengan isu kasut hitam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Januari, 2020.

Beliau memberi contoh isu peralihan kasut putih kepada kasut hitam di sekolah sebagai contoh kegagalan Maszlee menghebahkan dasarnya.

Media memperlekehkan idea itu, kata Wong, manakala hanya segelintir golongan kelas menengah faham bagaimana langkah itu akan menjimatkan perbelanjaan keluarga miskin.

“Maszlee berdepan dengan media yang menyerangnya bermula dengan isu kasut hitam. Beliau tidak begitu arif tentang media untuk membetulkan keadaan,” tambah Wong.

Satu lagi keputusan yang disambut hambar ialah langkah beliau mengekalkan pegawai kementerian yang setia kepada rejim Barisan Nasional (BN), kata pensyarah politik Dr Mazlan Ali.

“Kerana latar belakangnya sebagai ahli akademik dan aktivis sosial, Maszlee seorang yang progresif memiliki idea yang progresif,” kata pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Antara ideanya ialah melihat prestasi tanpa mengira kecenderungan politik, tetapi ini tidak diterima.”

Isu Jawi

Maszlee mengaitkan keputusannya letak jawatan kerana menimbulkan banyak krisis kepada kepimpinan antaranya susulan keputusan pengenalan pengajaran tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah jenis bukan kebangsaan.

Langkah itu, yang sebenarnya dimulakan oleh pentadbiran BN pada 2014, umumnya ditolak oleh ibu bapa dan pentadbir sekolah Cina dan Tamil.

Mereka terus membantah walaupun Jemaah Menteri memutuskan pengajaran tulisan Jawi hanya tiga muka surat dalam buku teks daripada enam muka surat asal dan tertakluk pada persetujuan lebih separuh ibu bapa.

Namun kerajaan tidak boleh berpatah balik daripada keputusan itu kerana ia akan membangkitkan kemarahan orang Melayu Islam yang seterusnya akan mengikis lagi sokongan pengundi Melayu kepada PH, kata Mazlan.

“Jawi ini isu yang berpaut pada sentimen, ada kaitan dengan perasaan kedua-duanya Melayu dan Cina,” katanya.

Dr Maszlee Malik dikatakan meletak jawatan kerana menimbulkan krisis kepimpinan, antaranya susulan keputusan pengajaran Jawi di sekolah vernakular. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Januari, 2020.

Mazlan baru-baru ini membuat kaji selidik mengenai isu itu di Johor.

“95% peratus ibu bapa Cina menentang atas alasan akan menyusahkan anak mereka. Tetapi kalau kerajaan batal boleh sebabkan orang Melayu marah,” katanya.

Sementara itu, Wong melihat kontroversi isu tulisan Jawi sebagai perang proksi mengenai Islamisasi.

“Baik yang menyokong atau menentang tulisan Jawi melihatnya sebagai alat untuk Islamisasi,” kata Wong.

Beliau menambah kemarahan rakyat mengenai isu itu boleh diurus sekiranya kementerian memperakui sensitivitinya.

Wong berpendapat sekiranya Maszlee berkomunikasi lebih baik dengan umum, kemarahan itu boleh diredakan.

Beliau merujuk keputusan Kabinet mengurangkan jumlah muka surat buka teks melibatkan tulisan Jawi daripada enam kepada tiga, dan bahan pembelajarannya iaitu tulisan cogan kata jata negara dan pada duit kertas.

“Tetapi kenyataan medianya tidak menonjolkan perubahan ini sebaliknya menekankan komitmen kementerian untuk meneruskan dasar itu.

“Ini disambut oleh media yang memberikan tajuk berita seperti kerajaan tidak hiraukan bantahan ibu bapa.”

Mazlan berkata peletakan jawatan Maszlee boleh jadi langkah pertama kerajaan untuk mengendurkan isu tulisan Jawi tanpa mencetuskan kemarahan mana-mana pihak baik Melayu atau bukan Melayu.

“Menteri baharu mungkin ada peluang lebih baik untuk mencari jalan tengah dan jalan ke depan, berbanding Maszlee.

“Peletakan jawatannya boleh jadi langkah tolak ansur untuk jalan lain itu,” katanya. – 3 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen