Najib terkejut tak lepas, kata peguam


Bede Hong Timothy Achariam

Najib Razak menjangkakan akan dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan berkaitan kes SRC International. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 11 November, 2019.

BEKAS perdana menteri Najib Razak “terkejut” beliau tidak dilepas dan dibebaskan daripada tujuh pertuduhan berkaitan kes SRC International.

“Beliau terkejut kerana pembelaan dipanggil untuk setiap pertuduhan,” kata peguamnya Muhammad Shafee Abdullah kepada wartawan selepas Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali menyampaikan penghakiman lisan pagi tadi.

“Beliau menjangkakan akan dilepas dan dibebaskan daripada semua tujuh pertuduhan. Kami yakin semua tujuh pertuduhan akan dilepas dan dibebaskan pada peringakt ini kerana kami sudah membantah andaian (bersalah) dalam kes pendakwaan.

“Beliau terkesima. Terkejut sebenarnya,” kata Shafee.

Pagi tadi, Hakim Nazlan mengumumkan penghakimannya bahawa pendakwaan berjaya membuktikan wujud kes prima facie terhadap Najib.

Pemimpin berusia 66 tahun itu berdepan tujuh pertuduhan jenayah- tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

Pertuduhan berkaitan dengan pinjaman RM4 bilion diberikan kepada SRC International antara 2011 dan 2012, yang mana Najib didakwa menerima RM42 juta dalam akaun peribadinya antara tahun 2014 dan 2015.

Najib memilih untuk memberi keterangan bersumpah pada 3 Disember ini, selepas itu beliau akan disoal balas pihak pendakwaan.

Shafee mengesahkan Najib akan menjadi saksi pertama pembelaan: “Itu syarat undang-undang.”

“Orang kena tuduh perlu sentiasa menjadi saksi pertama (pembelaan). Anda tahu kenapa? Sebab jika anda panggil orang lain dahulu, tertuduh dengar keterangan saksi itu dan dia boleh ubah keterangannya. Jadi, (syarat) undang-undang itu logik.”

Shafee percaya proses pembelaan perbicaraan boleh berlanjutan sehingga Januari, dengan penghujahan terakhir dihantar pada Mac atau April.

Bagaimanapun, beliau mendedahkan pasukannya sedang menyiapkan kes dan bersedia membawanya ke mahkamah lebih tinggi.

“Ada banyak kes apabila Mahkamah Persekutuan terkejut ada sabitan bersalah. Jadi, saya sentiasa tunggu perbicaraan yang baik, selalunya di Mahkamah Persekutuan.

“Jika banyak benda tidak berubah, kes ini akan sampai ke Mahkamah Persekutuan. Di situlah saya berharap banyak isu ditangani dengan lebih baik. Apapun saya gembira kes ini bermula di mahkamah tinggi…jadi anda akan berakhir di Mahkamah Persekutuan.

“Lagipun ia akan sampai juga ke Mahkamah Persekutuan. Awak sebenarnya sedang lihat pusingan awal pandangan seorang hakim sahaja. Kami mahu dengar pandangan korum tujuh hakim di Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Ditanya sama ada kes Najib akan berlanjutan, Shafee menjawab, “Ya, ia akan berterusan sampai habis pilihan raya umum akan datang….jadi banyak tahun lagi.”

Shafee enggan memberikan nama saksi pembelaan yang akan dipanggil selepas Najib.

Tambahnya, beliau sudah memfailkan permohonan sebelah pihak terhadap seorang wakil rakyat dan dua akhbar, termasuk sebuah akhbar tempatan, kerana menghina mahkamah dalam kes perbicaraan SRC International.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan pihak yang terlibat: “Kami mahu kejutkan mereka.”

Najib tidak bercakap kepada media selepas penghakiman dikeluarkan. Begitu juga dengan Peguam Negara Tommy Thomas dan Pendakwa Raya Khas V Sithambaram.

Turut hadir mendengar penghakiman ialah Gopal Sri Ram, pendakwa raya kanan dalam kes 1MDB yang sedang berlangsung.

Perbicaraan SRC International akan disambung semula pada 3 Disember sehingga 19 Disember, tarikh tambahan bicara akan ditentukan kemudian. – 11 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen